suria

Pergerakan Penumpang Landasan Terbang Changi Naik Kepada 4.54 Juta Pada Julai

SINGAPURA: Lapangan Terbang Changi Singapura mengendalikan kira-kira 4.54 juta penumpang pada Julai 2013, naik empat peratus, daripada bulan yang sama tahun lepas.

Pergerakan udara untuk bulan itu juga naik 6.9 peratus, dengan 29,000 pendaratan dan penerbangan dicatatkan di Changi, kata Changi Airport Group (CAG) dalam petunjuk terbaharunya.

Ia berkata pergerakan fret udara naik 1.1 peratus, tahun ke tahun, dengan 160,000 tan metrik kargo bergerak melalui lapangan terbang Changi pada bulan itu.

Antara Januari dan Julai, 30.8 juta pergerakan penumpang dicatatkan di Changi, 4.9 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama 2012.

Pergerakan pesawat turut meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 196,000 sementara penghantaran fret udara naik 1.3 peratus kepada 1.1 juta tan metrik bagi tempoh yang sama.

Setakat 1 Ogos, lebih 100 syarikat penerbangan beroperasi di Lapangan Terbang Changi, menghubungkan Singapura kepada 250 bandar raya di kira-kira 60 negara dan wilayah di seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel Lain