suria

Media Sosial Alat Penting Promosi Jenama - Forbes

KUALA LUMPUR: Komuniti perniagaan di Malaysia digesa memaksimumkan penggunaan media sosial untuk mempromosi perniagaan dan penjenamaan mereka.

Richard Levick, seorang pengulas Forbes dan antara 100 individu paling berpengaruh di kalangan lembaga pengarah, berkata media sosial adalah platform pemasaran penting hari ini berbanding lain-lain platform media kerana ia membabitkan interaksi dua hala.

Levick, yang juga presiden/ketua pegawai eksekutif Levick Strategic Communications yang berpangkalan di AS, berkata komunikasi dua hala yang berkesan diperlukan untuk penjenamaan produk dan interaksi dengan pelanggan untuk maklum balas, aduan dan ulasan produk.

Beliau berkata komuniti perniagaan tidak perlu bimbang tentang komen negatif dalam pengiklanan syarikat yang dipaparkan dalam media sosial kerana ia membuahkan peluang yang baik.

"Komen negatif daripada pengguna dalam media sosial memberikan peluang untuk komuniti perniagaan menjawab dan mengambil langkah terhadap komen negatif itu," katanya kepada Bernama selepas forum revolusi media sosial dan pembangunan jenama untuk ketua-ketua perniagaan di sini Khamis.

Forum itu dianjurkan oleh Global Information Management Services Sdn Bhd.

Levick berkata mengumpulkan ribuan pengguna media sosial bukan hanya tentang simbol kekuatan jenama, tetapi ia mengenai pengukuhan hubungan pemegang kepentingan dan pelanggan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain