suria

India Tawar Potensi Perniagaan Yang Besar

NEW DELHI: India, dengan penduduk berjumlah 1.2 bilion orang, tidak boleh diketepikan, kerana ia merupakan sebuah pasaran yang berkembang, yang menawarkan peluang-peluang perniagaan yang besar, kata Ketua Pegawai Operasi bagi Penyelesaian Pengangkutan Scomi Group, Kanesan Veluppillai.

"India pantas berkembang menjadi sebuah ekonomi yang kukuh. Kita tidak boleh ketepikan India," katanya.

Bagaimanapun, setiap negara mempunyai masalahnya sendiri, katanya.

"Semasa saya mula-mula datang ke India, saya diberitahu bahawa tiada suatu pun bergerak di India tetapi pengalaman kami jauh berbeza dan lebih baik.

"Memang wujud masalah, tetapi masalah boleh menjadi peluang. Kami nampak masalah pengangkutan di sini, dan kami adalah penyedia perkhidmatan pengangkutan; jadi ini adalah peluang perniagaan," katanya kepada peserta Pameran Perniagaan Asean-India Kedua yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India selama dua hari bermula esok.

Pada November 2008, Scomi dan rakan kongsi konsortiumnya, Larsen & Toubro Ltd India, diberikan kontrak untuk membina sistem monorel di Mumbai yang meliputi jarak sejauh 19.5km dan dijadualkan siap tahun ini.

Kanesan, yang menceritakan pengalaman Scomi di India, berkata negara ini perlu menghapuskan tanggapan umum yang mengatakan ia adalah negara yang sukar untuk dijadikan tempat bekerja.

Kata beliau, India juga menawarkan pekerja berbakat yang sangat ramai, yang kini diambil bekerja dalam projek-projek Scomi di Malaysia dan Brazil.

Scomi, katanya, juga mendapat sokongan yang sangat baik daripada sektor perbankan India.

"Kami mendapat sokongan yang baik daripada bank-bank di sini," tegas Kanesan.

Mengenai cabaran, beliau berkata perlu diingat tentang kekurangan tenaga buruh pada musim menuai di India kerana pekerja-pekerja pulang ke kampung masing-masing untuk menuai.

Satu lagi perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah isu-isu cukai yang mungkin berubah-ubah.

"Pencukaian adalah sesuatu yang syarikat-syarikat perlu tahu dengan terperinci," kata beliau.

Di India, lebih 21 bandar merancang untuk memperkenalkan monorel sebagai satu pilihan bagi sistem pengangkutan bandar pelbagai kaedah.

Scomi bukan sahaja telah dimasukkan dalam senarai pendek bagi projek monorel Chennai sepanjang 57km itu, malah juga akan membida bagi landasan sepanjang 20km di Thane, bersama dengan rakan kongsinya, IL&FS Transportation Network Ltd, untuk mendapatkan kontrak bernilai RM2.46 bilion.

Selain itu, Scomi juga sedang giat mencari peluang di Kerala, Delhi, Bengaluru, Ludhiana dan Jaipur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain