suria

PM Jepun Bubar Parlimen: P/Raya Ditetapkan 16 Disember

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda akhirnya membubarkan juga parlimen bagi membolehkan satu pilihan raya segera diadakan selepas lebih seminggu spekulasi mengenainya menjadi bahan berita utama di negara tersebut dan juga serata dunia.

16 Disember telah ditetapkan sebagai tarikh pilihan raya umum yang baru.

Sejak dilanda tsunami dan gempa bumi yang terburuk dalam sejarah negara itu tahun lalu, Jepun turut dilanda dengan ancaman politik yang tidak menentu.

Noda sendiri adalah perdana menteri Jepun yang keenam dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang sekaligus memperlihatkan betapa politik negara itu berada dalam kedaan yang tidak pernah stabil.

"Pilihan raya ini akan menentukan hala tuju baru negara ini - sama ada akan maju ke hadapan atau kembali ke belakang," kata Noda dalam sidang akhbar bagi mengumumkan pembubaran parlimen, pada Jumaat.

Deklarasi pembubaran parlimen itu telah mendapat restu speaker dan juga Maharaja Akihito.

Sebaik sahaja pembubaran itu diumumkan para ahli parlimen meneriak "Banzai" sebanyak tiga kali.

Noda menyatakan keyakinannya yang tinggi bahawa partinya, Parti Demokratik Jepun akan mencapai kejayaan yang besar dalam pilihan raya itu nanti.

Sejak menerajui negara itu pada tahun 2009, Parti Demokratik Jepun menikmati majoriti dua pertiga di parlimen tetapi sejak Rabu lalu, terdapat ahli-ahli parlimennya yang telah melompat parti sekaligus mendorong Noda untuk membuat keputusan yang terdesak iaitu membubarkan parlimen bagi memperolehi mandat baru.

Situasi terbaru itu menyaksikan Parti Demokratik kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen.

Kesemuanya terdapat 480 buah kerusi di Dewan Rakyat Parlimen Jepun.

Parti Liberal Demokrat (LDP) yang memerintah sebelum ini kini sedang mencari rakan pakatan baru untuk kembali berkuasa.

Mereka dikatakan telah mengadakan rundingan dengan Parti New Komeito, yang berasaskan ajaran Buddhist.

Pemimpin LDP, Shinzo Abe, yang berhasrat untuk kembali sebagai perdana menteri memberitahu pemberita, tiga tahun di luar kuasa telah memberi perspektif baru kepada partinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain