suria

Keputusan Pembebasan Awal Pembunuh Pakar Bedah Diketahui September

MELBOURNE: Pihak Berkuasa Parol (SPA) New South Wales akan memberi keputusan muktamad pada 6 September sama ada rakyat Malaysia Liew Chiew Seng, yang dijatuhi hukuman 26 tahun penjara kerana membunuh pakar bedah jantung Victor Chang, boleh mendapat pembebasan lebih awal.

Liew, 69, meringkuk di penjara selama 21 tahun kerana membunuh pakar bedah itu pada 1991.

Dalam laporannya, Akhbar Sydney Daily Telegraph berkata pendengaran SPA di Sydney pada Jumaat diberitahu bahawa Liew "tidak berbuat apa-apa" mengenai program pemulihan atau celik huruf sepanjang menjalani hukumannya - syarat yang perlu dipenuhinya untuk mendapatkan pembebasan awal.

Bagaimanapun, oleh kerana Liew mengalami penyakit Parkinson peringkat teruk, dia layak diberi parol seawal September walaupun tidak memenuhi syarat itu.

Sementara itu, naib presiden Victims of Crime Assistance League Howard Brown berkata SPA "tidak ada pilihan selain menahannya di dalam penjara".

"Selama 21 tahun, dia tinggal di penjara dan enggan menyertai sebarang bentuk program pemulihan, enggan menyertai program celik huruf dan mengikut hakim yang menjatuhi hukuman, Hakim Slattery, Liew perlu melakukan perkara itu sekiranya mahu mendapatkan pembebasan lebih awal," kata Brown.

Bagaimanapun, peguam Aaron Debattista yang mewakili Liew mempertahankan keengganan anak guamnya mengikuti program itu dengan memberi alasan Liew "tidak mampu menyertainya kerana menghadapi masalah berkaitan bahasa Inggeris dan Cina.

"Jelas sekali, sekiranya dia terus tinggal di dalam penjara, kosnya perlu ditanggung pembayar cukai," kata Debattista.

Liew tidak diberi parol tahun lepas apabila tempoh tanpa parolnya selama 20 tahun berakhir pada Julai.

Rakan yang bersubahat dengannya dalam perlakuan jenayah itu, Phillip Lim Choon Tee, dihantar pulang ke Malaysia pada 2010 setelah menghabiskan 18 tahun daripada 24 tahun hukuman penjara maksimum yang dikenakan terhadapnya.

Liew akan dihantar pulang ke Malaysia dengan segera sekiranya dia mendapat pembebasan lebih awal. - BERNAMA

Artikel Lain