suria

Malaysia Sedia Bantu India Tanam Kelapa Sawit

NEW DELHI: Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, sedia membantu India di dalam usahanya untuk menanam kelapa sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

"Kami boleh membantu. Kami bersedia membantu India di dalam usahanya mewujudkan perladangan kelapa sawit," katanya.

Sebagai permulaan, Malaysia boleh membekalkan anak-anak benih kepada India, katanya kepada pemberita selepas menemui Menteri Pertanian India Sharad Chandra Govindrao Pawar di sini, Selasa.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Tan Seng Sung, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia Tan Sri Yusof Basiron dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr Choo Yuen May.

Pada pertemuan itu, katanya perkara yang dibincang juga termasuk kemungkinan menjalin kerjasama pertukaran teknikal.

Tahun lepas, adalah diumumkan bahawa Kementerian Pertanian India akan melaksanakan satu program khas untuk meningkatkan kawasan penanaman kelapa sawit sebanyak 60,000 hektar lagi kepada lebih 211,000 hektar, daripada 171,000 hektar sekarang ini.

Perladangan kelapa sawit di India kini kebanyakannya dilaksanakan di negari Kerala dan kepulauan Nicobar.

India mengimport antara 20-25 peratus daripada keperluan minyak sawit mereka dari Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain