suria

Majlis Singapura Dan CGBC China Bekerjasama Dalam Latihan Profesional Bangunan Hijau

SINGAPURA: Majlis Bangunan Hijau Singapura (SGBC), yang mengetuai industri bangunan dan pembinaan republik itu ke arah persekitaran mampan, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bangunan Hijau China, rakan kongsi Chinanya di Beijing, untuk berganding bahu dalam melatih pakar-pakar bangunan hijau secara profesional.

Langkah ini adalah usaha bersama untuk mempromosikan "kehijauan" bangunan di China.

Perjanjian MOU itu ditandatangani oleh Tai Lee Siang, Presiden SGBC dan Profesor Wang You Wei, Presiden CGBC di Persidangan Bangunan Hijau dan Cekap Tenaga Antarabangsa 2012 di Beijing dengan disaksikan oleh Menteri Pembangunan dan Perdagangan dan Industri Negara, Lee Yi Shyan dan Dr Qiu Baoxing, Naib Menteri untuk Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar, China.

Lee kini mengetuai misi perdagangan Singapura ke China.

Berikutan dengan MoU itu, SGBC akan bekerja dengan pelbagai pihak yang berminat ke arah menyediakan latihan profesional untuk penyelia dan profesional bangunan dalam reka bentuk bangunan, pembinaan, operasi dan penyenggaraan bangunan hijau di China.

SGBC juga akan bekerjasama dalam pelbagai usaha mendapatkan pengiktirafan persijilan Produk Bangunan Hijau Singapura di China serta mempromosikan pelbagai rangkaian kepakaran bangunan hijau di kalangan ahli SGBC bagi memenuhi keperluan pembangunan eko-bandar dan bangunan hijau di China. - BERNAMA

Artikel Lain