suria

Menteri Indonesia Bertindak Bantu Atasi Kesesakan Di Plaza Tol

JAKARTA: Sejak menjadi menteri dalam rombakan kabinet Indonesia tidak lama dahulu, Dahlan Iskan, sentiasa menarik perhatian dengan gayanya yang luar biasa menaiki kereta api bersama orang ramai untuk menghadiri mesyuarat di Bogor. Hari ini, Menteri Badan Usaha Milik Negara itu, membuat satu lagi kejutan dengan menunggu di plaza tol Semanggi di sini dan melepaskan 100 buah kenderaan secara percuma, bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas.

Kementerian yang diterajuinya bertanggungjawab tentang syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs).

Tindakan Dahlan hari ini segera menjadi topik perbualan hangat di Twitter dan mendapat liputan kebanyakan portal berita tempatan.

Media tempatan melaporkan bahawa Dahlan bertindak sedemikian setelah melihat barisan kenderaan yang panjang menunggu giliran membayar tol di Plaza Tol Semanggi pada 6.10 pagi.

Hairan dengan keadaan itu kerana hari masih pagi, menteri kemudian itu terus keluar dari keretanya, memeriksa dua pondok tol yang kosong di situ dan membuang kerusi di dalamnya sambil berkata : "Tak ada gunanya kerusi ini".

Pada masa itu hanya dua lorong pondok tol yang beroperasi iaitu satu lorong manual dan satu lagi lorong automatik, sedangkan dua lagi pondok tol ditutup.

Ketua Perhubungan Awam kementerian berkenaan, Rusdi dipetik sebagai berkata Dahlan selepas itu membuat keputusan membuka pintu penghalang dan melepaskan kenderaan yang berbaris panjang melalui lorong itu secara percuma sehingga kira-kira 100 buah kenderaan tidak perlu membayar tol.

Setelah melihat lalulintas lancar, beliau meneruskan perjalannanya ke pejabat syarikat penerbangan Garuda Indonesia untuk menghadiri satu mesyuarat mingguan.

Secara kebetulan, sebuah daripada kenderaan yang dilepaskan secara percuma di plaza tol itu oleh Dahlan dinaiki Pengarah Utama Garuda Indonesia, Emirsyah Satar. -BERNAMA

Artikel Lain