suria

Prestasi Kewangan Suku Keempat Syarikat Telekomunikasi Sepanyol Telefonica Meningkat

MADRID: Syarikat telekomunikasi gergasi Sepanyol, Telefonica pada Jumaat mencatatkan keuntungan bersih suku keempat sebanyak 2.67 bilion euro (RM11.03 bilion), meningkat dua kali ganda berbanding tempoh yang sama pada tahun 2010.

Prestasi keseluruhan tahunan Telefonica bagaimanapun mencatatkan penurunan.

Keuntungan bersih pada 2011 adalah sebanyak 5.4 bilion euro (RM22.29 bilion) menurun 46.9 peratus berbanding 2010, apabila Telefonica dirangsang oleh penilaian semula terhadap pegangan dalam pengendali telekomunikasi Brazil, Vivo.

Perangkaan suku keempat syarikat itu jauh lebih baik daripada apa yang dijangkakan, apabila penganalisis Dow Jones Newswires membuat tinjauan terhadap keuntungan bersih 1.68 bilion euro (RM6.94 bilion).

Jualan suku tahun berjumlah 16.16 bilion euro (RM66.73 bilion), 1.8 peratus lebih tinggi secara tahunan, mengatasi jangkaan 15.99 bilion euro (RM66.03 bilion), manakala pendapatan teras meningkat 10.2 peratus kepada 5.96 bilion euro (RM24.61 bilion) lebih baik daripada jangkaan.

Jualan tahunan pula adalah 3.5 peratus lebih tinggi kepada 62.84 bilion euro (RM259.48 bilion) tetapi pendapatan teras sebanyak 21.6 peratus lebih rendah pada 20.21 bilion euro (RM83.45 bilion), kata kumpulan syarikat itu. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain