suria

Ratusan Orang Islam Bantah Larangan Bertudung Di Sebuah Sekolah Di Bangkok

BANGKOK: Ratusan penduduk Islam mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Pejabat Perdana Menteri di sini pada Selasa bagi membantah tindakan sebuah sekolah menengah aliran Buddha melarang seorang pelajar Islam memakai tudung.

Muslim Group for Peace menyifatkan Sekolah Menengah Wat Nongjok di sini yang tidak membenarkan seorang pelajar Islam memakai hijab atau bertudung kepala sebagai satu tindakan prejudis terhadap Islam.

Mereka berkata tindakan sekolah itu bertentangan dengan peraturan pakaian seragam sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran memandangkan seorang pelajar mempunyai hak untuk memilih pakaian seragam.

"Sebenarnya, Kementerian Pelajaran telah menghantar surat yang menandakan tindakan sekolah itu sebagai salah laku," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu di tempat perhimpunan.

Kumpulan itu mendakwa beberapa guru dan pentadbir sekolah terus menerus enggan mengajar atau membenarkan pelajar memasuki sekolah berikutan isu itu dari semasa ke semasa.

Kumpulan itu meminta Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk membantu menyelesaikan isu itu.

Beberapa penunjuk perasaan membina dinding batu di hadapan pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan sebagai simbol "halangan" yang dibuat oleh pihak sekolah terhadap pelajar bertudung.

Sebelum ini dilaporkan hanya enam pelajar sekolah menengah bertudung di sekolah itu selain laporan yang menyebut sekolah itu bertindak sedemikian kerana mahu semua pelajarnya mematuhi peraturan sekolah berhubung pakaian seragam sekolah kerana ia merupakan sekolah Buddha.

Menteri Pelajaran Woravat Auapinyakul kemudian bertemu wakil kumpulan itu di Rumah Kerajaan sebelum memberitahu perhimpunan itu, pelajar boleh memakai pakaian seragam mengikut keperluan agama nmasing-masing seperti yang ditetapkan dalam garis panduan pakaian seragam kementerian.

Katanya kementerian akan terus berbincang dengan pihak berkuasa sekolah bagi menyelesaikan salah faham itu.

Pelajar 18 tahun yang menjadi tumpuan dalam isu itu mengucapkan terima kasih kepada Woravat apabila berucap pada perhimpunan itu.

Penunjuk perasaan itu kemudiannya bersurai.

Artikel Lain