suria

Malaysia Sasar Pelancong Australia Bagi Pasaran Inap Desa

MELBOURNE: Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata pasaran inap desa Malaysia tidak mencapai potensinya di kalangan pelancong Australia dan terdapat peluang pertumbuhan besar dengan lebih banyak promosi dan pembangunan produk. "Orang Australia semakin menunjukkan minat mereka dengan pengalaman pelancongan seumpama ini yang membolehkan interaksi budaya tradisional dan produk inap desa kita di Malaysia menawarkan ini," katanya pada Persidangan Eko Global 2011 selama empat hari yang bermula di Sydney pada Isnin.

"Kami juga menyedari bahawa produk inap desa berdekatan dengan taman negara yang menawarkan pengalaman berasaskan alam semulajadi terbukti merupakan yang paling popular terutamanya dengan pelancong Australia," kata Dr Dawos, sambil menambah: "Kami mahu memudahkan pembangunan produk jenis ini bagi mewujudkan penawaran 'pelancongan eko berasaskan komuniti'.

Daripada 2,000 pelancong Australia yang mencuba program inap desa tahun lepas, 50 peratus berkunjung ke Sabah.

Dr Dawos berkata bagi meningkatkan daya tarikan inap desa, Tourism Malaysia merancang menjalin kerjasama strategik antara penyedia inap desa dan pengusaha pelancongan eko bereputasi agar lebih banyak inap desa memasukkan aktiviti berasaskan alam semulajadi dan pengalaman pelancongan eko.

Beliau berkata Tourism Malayia juga membangunkan destinasi pelancongan eko berasaskan komuniti kendiri bagi membantu komuniti tempatan mencipta produk pelancongan yang mempamerkan alam sekitar tempatan.

Tiga produk seumpama itu telah dibangunkan baru-baru ini secara kerjasama dengan komuniti di Sarawak, katanya.

"Dengan menggalakkan aktiviti pelancongan eko yang diusahakan oleh komuniti kami boleh memastikan bahawa penduduk tempatan mendapat manfaat secara langsung daripada alam sekitar dan justeru itu mendapat galakan untuk melindunginya," kata Dr Dawos.

Beliau berkata tahun lepas program inap desa menarik lebih 45,000 orang asing dan ia popular di kalangan pelancong Jepun, Korea dan Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain