suria

Pasukan Keselamatan Arab Saudi Siap Siaga Pastikan Ibadat Haji Lancar

MEKAH: Pasukan keselamatan Arab Saudi kini bersiap siaga bagi memastikan keamanan dan keselamatan di tanah suci berada di tahap tertinggi untuk memudahkan jemaah haji menunaikan ibadat dengan mudah dan selesa.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Putera Naif Abdul Aziz berkata pasukan keselamatan Arab Saudi sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan semasa kemuncak ibadat haji bermula Sabtu ini (9 Zulhijjah).

"Kami bersedia menangani sebarang masalah, tujuan kami adalah untuk keamanan, kecuali bagi mereka yang mahu menimbulkan kekacauan," kata baginda pada sidang akhbar melalui seorang penterjemah di Mina, di sini.

Sebelum itu, Putera Mahkota itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji melawat kawasan tanah suci bagi meninjau keadaan keselamatan dan pengurusan jemaah haji.

Pada 5 November, selepas solat zohor, kira-kira tiga juta jemaah haji sudahpun berada di Arafah untuk melakukan wukuf. Selepas sepanjang hari di Arafat, jemaah haji akan bergerak ke Muzdalifah dan kemudian ke Mina bagi tujuan melontar Jamrat, menyembelih ternakan dan melakukan Tawaf di Masjidil Haram.

Sementara itu, wartawan tempatan dan lebih 100 wartawan dari kalangan negara-negara Islam dipertontonkan dengan kesiapsiagaan pasukan keselamatan Arab Saudi termasuk tentera dan polis dalam memastikan keselamatan dan keselesaan kepada jemaah haji menunaikan ibadat mereka.

Di samping mempamerkan kenderaan dan peralatan moden, pasukan elit turut mempamerkan kehebatan mereka dalam menangani sesuatu ancaman keganasan.

Helikopter turut digunakan untuk memantau keselamatan pergerakan jemaah haji di Arafah, Muzdalifah serta Mina. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Charice Mati Ditikam

Artikel Lain