suria

Rawhi Pulang Ke Pangkuan Isteri Setelah 23 Tahun Meringkuk Di Penjara Israel

SEMENANJUNG GAZA: Kesabaran dan kesetiaan seorang isteri akhirnya membuahkan hasil apabila suaminya yang merengkok selama 23 tahun di penjara Israel, kembali ke pangkuannya berikutan pelaksanaan perjanjian pertukaran banduan antara Hamas dan rejim Yahudi itu baru-baru ini.

Bekas banduan itu, Rawhi Moshtaha, ditangkap pihak berkuasa Israel pada 1988, enam bulan selepas mendirikan rumah tangga dengan Aum Jamal.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia umpama sebuah mimpi," kata Aum, 46, kepada Bernama.

Wanita ini berkata ketika dia melawat Rawhi di penjara pada 1994, suaminya mencadangkan agar perkahwinan mereka dibubarkan untuk memberi peluang kepada Aum berkahwin dengan orang lain memandangkan usianya yang masih muda.

Bagaimanapun, kata Aum, dia tidak mengendahkan saranan Rawhi itu kerana yakin suaminya akan dibebaskan suatu hari kelak untuk membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Apabila perjanjian pertukaran banduan anjuran Mesir itu ditandatangani Hamas dan Israel minggu lepas, keyakinan Aum akan dapat berjumpa semula dengan suaminya, semakin teguh.

Berdasarkan perjanjian itu, Israel akan membebaskan 1,027 banduan Palestin secara berperingkat, bermula dengan pembebasan 477 banduan Selasa lepas sebagai pertukaran bagi pembebasan seorang anggota tentera Israel bernama Gilad Shalit, yang ditawan Hamas pada Jun 2006.

Bagi Rawhi, 51, kehidupan sebagai banduan di penjara Israel sejak sekian lama, menyebabkannya tidak dapat lagi mengecam kampung halamannya yang telah banyak berubah.

Rawhi berkata walaupun dia sedih kerana tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa serta adiknya yang meninggal dunia ketika dia menjalani kehidupan sebagai banduan, tetapi dia gembira kerana kini menjadi manusia bebas.

"Saya gembira kerana kini saya menjadi manusia bebas, tapi sedih juga kerana apabila mengenangkan nasib beribu-ribu rakyat Palestin yang masih meringkuk di penjara Israel," kata lelaki berjambang tebal ini yang dikenakan tujuh hukuman penjara seumur hidup.

"Insya-Allah, mereka juga akan dibebaskan tidak lama lagi," kata Rawhi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain