suria

Rakyat Singapura Dinasihat Tangguhkan Lawatan Ke Bangkok

SINGAPURA: Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan lawatan mereka ke Bangkok sehingga keadaan bertambah baik.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, MFA berkata Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra memberi amaran bahawa daerah Sai Mai and Don Muang di utara Bangkok mungkin dilanda banjir dalam tempoh 48 jam jika usaha mengukuhkan benteng penahan air gagal.

Dengan keadaan yang tidak dapat diramal, MFA berkata kedutaan Singapura di Bangkok telah menasihatkan rakyat Singapura di Bangkok untuk mengambil langkah berjaga-jaga jika keadaan bertambah buruk.

Kedutaan Singapura akan terus berhubung dengan rakyat Singapura di Bangkok dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan jika keadaan semakin buruk.

"Melainkan lawatan itu benar-benar perlu, kita meminta rakyat Singapura yang merancang untuk melawat Bangkok dalam beberapa hari ini untuk mempertimbang supaya menunggu sehingga keadaan banjir bertambah baik sebelum berbuat demikian," nasihat MFA.

Jika ia tidak dilakukan lagi, rakyat Singgapura yang melawat ke atau berada di Thailand perlu mendaftar dengan MFA di http://eregister.mfa.gov.sg. Ini bagi membolehkan MFA memberi maklumat terkini mengenai perkembangan terbaru dan menghubungi mereka sekiranya timbul keperluan berbuat demikian.

Rakyat Singapura juga digalakkan membeli insurans perjalanan dan perubatan komprehensif. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain