suria

Pelajar Malaysia Raikan Aidilfitri Di MSD

JAKARTA: Bagi para pelajar Malaysia di Indonesia menyambut Aidilfitri di perantauan tidak kurang meriahnya bila ada pihak berperanan menjadi keluarga ganti.

Peranan terletak pada Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia, hingga apabila majlis sambutan dan jamuan hari raya dianjurkan jabatan, ia menjadi acara yang begitu dinanti-nantikan pada setiap tahun.

Hari ini sebilangan pelajar Malaysia dari beberapa Universiti di sini dan kawasan sekitar kotaraya ini berkumpul di kediaman Pengarah MSD Indonesia di Jakarta Selatan untuk bersama-sama menikmati jamuan Aidilfitri dalam suasana Malaysia.

Majlis begini memberi peluang kepada pelajar bertemu rakan-rakan dari universiti lain dan bertukar-tukar maklumat mengenai perkembangan di tanah air.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun berkata hadirin pada acara ini adalah sebahagian dari 700 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di beberapa universiti di Jakarta.

Terdapat sejumlah 6,000 pelajar Malaysia di seluruh Indonesia dan 90 peratus daripada mereka mengikuti pengajian perubatan, pergigian dan farmaseutikal tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA.

Ludinata berkata bilangan pelajar Malaysia paling ramai pada masa ini ialah di Bandung sejumlah 1,200 orang, diikuti dengan Medan (850 pelajar) dan Yogyakarta (500). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Talas Landa Jepun

Artikel Lain