suria

Dr Tony Tan Angkat Sumpah Sebagai Presiden Baru Singapura, Khamis

SINGAPURA: Dr Tony Tan Keng Yam akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura ketujuh dalam satu majlis yang diadakan di Istana pada petang Khamis.

Dr Tan, 71, mengambil alih jawatan Presiden daripada S.R Nathan, 87, yang penggal pemerintahannya tamat Rabu lalu setelah berkhidmat sebagai ketua negara republik itu selama 12 tahun.

Dr Tan dipilih sebagai Presiden selepas memperoleh 35.19 peratus jumlah undi dalam pertandingan empat penjuru pilihan raya Presiden bulan lepas.

Beliau mendahului pungutan undi dengan kurang dua peratus daripada yang diperoleh pencabar terdekatnya, bekas Anggota Parlimen Dr Tan Cheng Bock.

Pemerintahan Dr Tan sebagai presiden bakal diikuti para pemerhati berikutan kedudukannya yang dikaitkan rapat dengan parti pemerintah People's Action Party.

Dr Tan berikrar bahawa tugas pertamanya sebagai Ketua Negara adalah mendekati seluruh rakyat Singapura.

"Perkara utama, yang perlu dilakukan segera sekarang ini ialah... berusaha untuk mendekati semua rakyat Singapura dan menjelaskan hakikat bahawa Presiden bertugas untuk seluruh rakyat, dan bukannya hanya kepada mereka yang dikaitkan dengan parti-parti tertentu, katanya pada satu sidang akhbar selepas memenangi pilihan raya presiden. - BERNAMA

Artikel Lain