suria

Tony Tan Selesai Angkat Sumpah Sebagai Presiden Singapura

SINGAPURA: Dr Tony Tan Keng Yam selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang ketujuh di Istana malam Khamis.

Dr Tan, 71, mengangkat sumpah dengan disaksikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Ketua Hakim Chan Sek Keong.

Tempoh perkhidmatannya adalah selama enam tahun.

Dalam ucapannya, beliau berkata beliau mahu menjadi presiden untuk semua rakyat Singapura dan yang boleh dibanggakan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau akan menumpukan sepenuh tenaga dan hatinya kepada tugas barunya itu yang merupakan cabaran terbesar yang pernah dilalui dalam karier politiknya.

Beliau berkata rakyat Singapura perlu bekerjasama untuk menyahut cabaran baru yang Singapura hadapi.

Dr Tan juga berkata beliau akan bekerjasama erat dengan kerajaan.

Beliau memegang jawatan tersebut selepas memenangi pemilihan jawatan Presiden bulan lalu.

Sementara itu di dalam ucapanya di majlis tersebut, Lee berkata beliau yakin Dr Tan akan menjalankan tugasnya dengan penuh penghormatan dan kecemerlangan serta dapat meningkatkan institusi jawatan penting tersebut.

Beliau berkata Dr Tan telah menumpukan sepenuh kehidupannya terhadap perkhidmatan awam di republik itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Talas Landa Jepun

Artikel Lain