suria

Mahkamah Tolak Hasrat Bekas Isteri Presiden Tanding

GUATEMALA CITY: Mahkamah Perlembagaan Guatemala telah menolak permohonan oleh bekas wanita pertama negara itu untuk bertanding jawatan presiden sekaligus menyebabkan parti yang diwakilinya iaitu parti yang memerintah tanpa wakil yang sah.

Sandra Torres, 55, telah bercerai dengan Presiden Alvaro Colom April lalu dalam usaha untuk mengelak daripada dihalang daripada bertanding kerana perlembagaan negara itu menghalang mana-mana ahli keluarga presiden yang ingin mempertahankan jawatannya daripada menyertai pertandingan.

Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Agung negara itu telah pun memutuskan bahawa Sandra tidak layak bertanding dan keputusan terbaru ini telah menyebabkan beratus penyokong setianya menangis dan memprotes di luar bangunan mahkamah.

Kesemua tujuh anggota hakim Mahkamah Perlembagaan memutuskan secara sebulat suara bahawa perlembagaan dengan jelas sekali menghalang mana-mana ahli keluarga mahupun isteri kepada presiden yang masih berkuasa daripada mengambilalih jawatan itu.

Pilihan raya presiden akan berlangsung pada 11 September depan.

Walaupun Sandra berhujah bahawa dia tidak lagi menjadi isteri Alvaro, tetapi mahkamah tetap memutuskan bahawa dia adalah sebahagian daripada ahli keluarga presiden itu.

Alvaro tidak mempertahankan jawatannya.

Artikel Lain