Australia Perkenal Undang-Undang Lindungi Hak Privasi - Dunia | mStar

Australia Perkenal Undang-Undang Lindungi Hak Privasi

SYDNEY: Australia pada Khamis akan memperkenalkan undang-undang yang memperketatkan hak privasi individu selepas satu skandal menggodam panggilan telefon berlaku di Britain.

Undang-undang itu membolehkan orang awam menyaman media jika hak privasi mereka dicabuli media.

Menteri Dalam Negeri, Brendan O'Connor berkata beliau mengambil tindakan itu kerana kebimbangan mengenai skandal akhbar News of the World semakin memuncak.

"Pada masa ini, tiada undung-undang yang betul mengenai hak privasi di Australia dan ini bermaksud tiada kepastian bagi mereka yang dicabuli hak privasi dalam mengambil tindakan undang-undang," katanya.

O'Connor berkata Canberra akan mendapatkan pandangan umum secepat mungkin dalam memperkenalkan undang-undang hak privasi tersebut dan akan bertindak dari situ.

"Privasi muncul sebagai isu penting dalam era moden ini terutamanya dengan teknologi-teknologi baru yang menyediakan lebih banyak peluang untuk berkomunikasi malah banyak cabaran baru dalam privasi."

Australia juga menerima tempias dalam skandal yang dicetuskan oleh News of the World dengan menteri-menteri kanan negara ini mengecam akhbar tempatan, Daily Telegraph milik taikun media Rupert Murdoch yang dikatakan cuba menjatuhkan kerajaan melalui laporan-laporan mereka. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain