suria

Lagi Pelombong Terperangkap Di China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 36 orang terperangkap di bawah tanah apabila sebuah lombong batu arang di timur China terbakar, beritahu pegawai keselamatan pada Khamis.

Seorang pegawai Pentadbiran Keselamatan Pekerjaan Negeri berkata, menurut satu siasatan, sebuah pemampat udara yang berada 225 meter di bawah tanah terbakar di wilayah Shandong pada petang Rabu dan meenyebakan 36 orang pekerja kawasan itu terperangkap.

Kerja menyelamat sedang dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Dalam kejadian yang berasingan, sejumlah 42 orang pelombong terperangkap dalam dua buah lombong di selatan China pada Sabtu disebabkan banjir yang berpunca daripada hujan lebat turun tanpa henti selama beberapa hari.

Para penyelamat cuba menyelamatkan mangsa dengan menyedut air banjir keluar dari salah satu lombong yang paras airnya meningkat setinggi 16 meter dari paras asal.

Menurut laporan berita Xinhua, lebih daripada 80 orang penyelamat berusaha sepanjang hari untuk menggali terowong yang dibanjiri air untuk menyelamatkan pelombong.

Pemilik lombong, Guangxi Heshan Coal Mining Company menawarkan ganjaran sebanyak RM610,000 kepada pasukan penyelamat bagi setiap orang pelombong yang berjaya diselamatkan.

Seramai 43 pelombong yang lain berjaya menyelamatkan diri namun tiga pelombong disahkan terkorban dalam kemalangan tersebut.

Seramai 2,433 orang kehilangan nyawa dalam beberapa kemalangan yang berlaku di lombong dekat China pada tahun 2010, jumlah yang kurang 196 orang berbanding tahun 2009. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain