suria

Indonesia Putuskan Henti Hantar Pekerja Ke Arab Saudi

JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah memutuskan untuk menghentikan penghantaran tenaga kerjanya ke Arab Saudi buat sementara waktu berikutan protes ke atas kegagalan memaklumkan tindakan hukuman pancung yang dijalankan ke atas seorang pembantu rumah Sabtu lepas.

"Kerajaan Indonesia telah memutuskan untuk menghentikan penghantaran tenaga kerja ke Arab Saudi sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," kata Menteri Tenaga Kerjanya, Muhaimin Iskandar sebagaimana dipetik oleh Agensi Berita Rasmi Antara.

Kini terdapat kira-kira 1.2 juta pekerja Indonesia yang bekerja di negara-negara Teluk dan 70% daripadanya adalah pembantu rumah.

Keputusan untuk menghentikan penghantaran tenaga kerja Indonesia itu akan berkuatkuasa 1 Ogos dan akan terus kekal sehinggalah Kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menandatangani satu memorandum persefahaman yang memberi jaminan perlindungan ke atas hak-hak asasi pekerjanya, kaya Muhaimin lagi.

Kerajaan Arab Saudi telahpun mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada rakyat dan kerajaan Indonesia pada Rabu kerana gagal memaklumkan keputusan untuk menjalankan hukuman pancung kepala yang dikenakan ke atas Ruyati binti Sapubi, 54, kerana didapati bersalah menikam majikannya sampai mati.

Ruyati dikatakan bertindak demikian selepas permintaannya untuk kembali ke Indonesia ditolak oleh majikannya.

Artikel Lain