suria

Jeneral David Petraeus Berjanji Tak Akan Bawa Budaya Tentera Jika Disahkan Sebagai Pengarah CIA Yang Baru

WASHINGTON DC: Panglima Tentera Amerika di Afghanistan, Jeneral David Petraeus yang dicalonkan oleh Presiden Barack Obama untuk mengetuai Agensi Perisikan Pusat (CIA) berkata, jika pencalonannya disahkan, beliau akan memandu ke perkarangan ibu pejabat agensi itu seorang diri tanpa pakaian seragam tentera.

Petraeus, yang ditemuduga oleh ahli jawatankuasa senat di Capitol Hill dengan mengenakan pakaian seragam tentera yang dipenuhi dengan pingat memberi jaminan kepada para senator bahawa beliau tidak sama sekali akan memperkenalkan hirarki ketenteraan di dalam pentadbiran CIA.

"Saya ingin diberi peluang untuk mentadbir CIA dan presiden sendiri telah duduk berbincang dengan saya mengenai hala tuju dan masa depan agensi perisikan pusat ini," katanya kepada para senator yang menemuramahnya.

Dalam sistem pentadbiran Amerika, sebarang jawatan yang bertaraf kabinet perlulah mendapat kelulusan dan pengesahan dewan senat terlebih dahulu sebelum seseorang calon itu dapat dilantik. Pencalonan dibuat oleh presiden sebagai ketua eksekutif negara.

Jawatan pengarah CIA adalah bertaraf kabinet dan menyertai mesyuarat mingguan kabinet bersama presiden.

Petraeus turut memberi jaminan kepada para senator bahawa pengalamannya mengemudi tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan merupakan satu aset dalam menasihati presiden dalam urusan perisikan negara.

Jika pencalonannya disahkan oleh senat, Petraeus yang merupakan jeneral empat bintang akan menjadi pengarah CIA yang ke-20 mengantikan Leon Panetta, yang baru sahaja disahkan jawatannya sebagai setiausaha pertahanan (menteri pertahanan) Amerika yang baru oleh senat.

CIA bertanggungjawab terhadap semua aktiviti perisikan Amerika di luar negara dan bertanggungjawab melantik ketua-ketua operatif perisikan di setiap kedutaan Amerika.

Artikel Lain