suria

33,000 Anggota Tentera Amerika Pulang Dari Afghan Mulai Julai Hingga Tahun Depan

WASHINGTON DC: Presiden Barack Obama telah mengarahkan 33,000 anggota tentera Amerika yang sedang berkhidmat di Afghanistan sekarang pulang secara berperingkat mulai bulan depan sehingga menjelang musim panas akan datang.

Walaupun arahan tersebut melibatkan sejumlah anggota yang besar tetapi masih terdapat lebih 65,000 lagi anggota tentera Amerika yang akan terus berkhidmat di Afghanistan sehingga ke tahun 2014.

Dalam kenyataannya kepada negara, Obama juga mengisytiharkan bahawa Amerika tidak akan cuba lagi untuk membentuk sebuah Afghanistan yang sempurna dan menerima hakikat bahawa adalah sukar untuk membina sebuah negara yang telah melalui pelbagai era peperangan dan pertempuran sejak zaman berzaman.

"Era peperangan telah surut," kata Obama dalam ucapan selama 13 minit yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Katanya, pasukan tentera Amerika telah melakukan pengorbanan yang besar dengan menstabilkan situasi dan keamanan di Afghanistan malah membantu melatih angkatan tentera negara itu sebaik yang mungkin.

Presiden Amerika itu berkata, sebagaimana yang dijanjikan, pengunduran tentera Amerika akan bermula secara berperingkat Julai ini dan bakal menyaksikan lebih 10,000 anggota akan dibawa pulang sebelum berakhirnya tahun 2011.

23,000 lagi anggota akan dibawa pulang secara berperingkat pada musim panas tahun depan sehingga pasukan keselamatan Afghanistan mengambil alih sepenuhnya kawalan keselamatan negara itu pada 2014.

Sejak 10 tahun yang lalu, sejumlah 1,600 anggota tentera Amerika telah terbunuh dalam pertempuran atau serangan hendap di Afghanistan termasuklah 187 anggota pada tahun ini sahaja.

Artikel Lain