suria

India Mungkin Hadkan Menu, Jemputan Untuk Cegah Pembaziran Di Majlis Sosial

NEW DELHI: Kurang senang dengan pembaziran makanan yang berleluasa di majlis-majlis sosial, perkahwinan, majlis perjumpaan dan mesyuarat kerajaan, pembuat dasar India merancang peraturan baru bagi mengelak pembaziran.

Menurut anggaran rasmi, bahan makanan pertanian bernilai hampir RM40 bilion dibazirkan di India setiap tahun dan kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada pembaziran itu berlaku di majlis-majlis sosial.

"Pembaziran kemewahan seumpama ini tidak selaras dengan norma-norma budaya dan sosial kita, sedang sebilangan besar penduduk di negara ini tidak mendapat makanan yang cukup," K.V. Thomas, Menteri Hal Ehwal Makanan dan Pengguna India memberitahu sebuah jawatankuasa yang membincangkan langkah mengawal pembaziran makanan di Delhi, Khamis.

Kementerian itu mungkin mencontohi "undang-undang sepinggan seorang" Pakistan yang menghad menu makanan (sepinggan sayur dan capati atau nasi) dan menghad bilangan tetamu di majlis sosial bagi mengelak pembaziran.

"Majlis perkawinan besar-besaran" adalah biasa di India, di mana majlis itu berlangsung selama beberapa hari dengan hidangan makanan yang melimpah untuk rombongan tetamu.

Birokrat, aktivis pengguna dan wartawan mengadakan perbincangan mendalam untuk mencari jalan mengekang pembaziran, pada ketika sekurang-kurangnya 35 peratus daripada 1.21 bilion penduduk India hidup di bawah garis kemiskinan. - BERNAMA

Artikel Lain