suria

Parti Sosialis Sepanyol Kalah Teruk Dalam Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan

MADRID: Parti Sosialis Sepanyol yang memerintah negara itu kalah teruk di peringkat pilihan raya pihak berkuasa tempatan yang dilihat ramai sebagai langkah melempiaskan kemarahan ke atas peningkatan pengangguran.

Sepanyol kini merupakan salah sebuah negara yang paling tinggi kadar pengangguran di Eropah.

Kekalahan itu juga dilihat sebagai satu tamparan hebat ke atas parti pemerintah tetapi bonus kepada parti konservatif yang pernah memerintah lapan tahun dahulu.

Adalah disebut-sebut pilihan raya umum akan dilangsungkan menjelang awal tahun depan.

"Sepanyol menuntut perubahan," demikian kata akhbar berhaluan kanan, El Mundo.

"Tsunami 22 Mei telah menenggelamkan Sosialis," lapor sebuah lagi akhbar utama Sepanyol, El Pais, Isnin.

Dengan kesemua undi boleh dikatakan telah selesai dikira, Sosialis hanya mampu menjana 27.79 peratus undi popular berbanding 37.53 peratus oleh Parti Konservatif, PP.

Antara bandar utama yang menyaksikan kekalahan Sosialis termasuklah kubu-kubu tradisi mereka seperti Seville dan Barcelona. Kedua-dua bandar ini ditadbir oleh Parti Sosialis sejak tahun 1979 lagi iaitu apabila pilihan raya perbandaran diperkenalkan - iaitu empat tahun selepas kematian diktator, Francisco Franco.

Lebih daripada 66 peratus daripada 34 juta pengundi berdaftar telah membuang undi di seluruh negara untuk memilih 8,116 datuk bandar, 68,400 ahli majlis bandar raya, dan 824 anggota parlimen wilayah untuk 13 daripada 17 wilayah separa autonomi.

Dan daripada 13 wilayah itu, Parti Sosialis boleh dikatakan tewas di kesemua tempat.

Artikel Lain