suria

Dua Maut, 16 Cedera Dalam Kejadian Letupan Kilang Di China

CHENGDU: Dua pekerja maut dan 16 yang lain cedera pada petang Jumaat selepas satu letupan berlaku di kilang Foxconn Chengdu di Provinsi Sichuan, menurut laporan agensi berita XinHua.

Letupan itu berlaku kira-kira 7 malam di sebuah bengkel di Hongfujin Precision Electronics (Chengdu) Co. Ltd., anak syarikat Foxconn Technology Group berpangkalan di Taiwan, yang terletak di Chengdu, menurut jurucakap pentadbiran bandar raya itu.

Kesemua 16 pekerja yang cedera itu dikejarkan ke hospital di mana tiga daripada mereka dirawat bagi kecederaan parah, menurut jurucakap itu.

Sementara itu, seorang pegawai di Biro Keselamatan Awam bandar raya itu berkata punca letupan sedang disiasat.

Foxconn ialah kilang pembekal iPhone dan iPad jenama Apple. Syarikat itu membuka kilang Chengdu US$2 bilion itu pada Oktober tahun lepas.

Foxconn menjadi tajuk berita pada tahun lepas kerana beberapa pekerjanya membunuh diri akibat suasana berkerja yang amat sukar di kilang itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain