suria

Pm Israel Ikrar Akan Terus Kekalkan Pasukan Tentera Di Sempadan Jordan

JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar bahawa negaranya akan terus menempatkan pasukan tentera di sempadan antara Jordan dan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada prasyarat dalam perjanjian damai dengan Palestin pada masa hadapan.

Ini katanya merupakan sebahagian daripada 'polisi insuran' untuk menjaga keselamatan Israel daripada sebarang potensi serangan pengganas.

Bercakap kepada para wartawan selepas melawat kemudahan tentera Israel di sempadan Sungai Jordan, Netanyahu berkata hanya pasukan tentera Israel yang mampu untuk menghalang sebarang serangan roket daripada pengganas menerusi Tebing Barat.

"Keselamatan sempadan Israel bermula dari sini (Jordan) oleh itu barisan pertahanan kita akan bermula dari sini juga. Jika pertahanan ini berjasa dibolosi, ini bermakna sesiapa sahaja mampu menerobos masuk ke Israel dan melancarkan serangan dari sini menuju ke Tel Aviv, Jerusalem, Haifa, dan Beersheva,” ujarnya.

Netanyahu tidak pernah berhenti daripada memperkatakan tentang kebimbangannya bahawa sebarang penarikan bala tentera Israel dari sempadan Jordan akan menyaksikan berulangnya situasi yang sama berlaku di Selatan Lebanon dan Gaza.

Di kedua-dua wilayah itu, sebaik sahaja Israel menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Palestin, kumpulan anti-Israel telah menggunakan peluang tersebut untuk melancarkan serangan roket ke atas bandar-bandar Israel berdekatan sehingga mencetuskan kebimbangan baru kepada negara Yahudi itu.

"Oleh yang demikian, dalam apa pun rundingan damai yang akan mengambil tempat pada masa hadapan, kita akan meletakkan syarat bahawa pasukan tentera Israel akan mengawal sempadan negara di sempadan sungai dan lembah Jordan. Itu adalah polisi insuran untuk keselamatan negara kami ," kata Netanyahu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin menentang keras sebarang percubaan untuk menempatkan pasukan tentera Israel di atas kawasan yang bakal menjadi sebahagian daripada wilayah pentadbirannya pada masa hadapan.

Artikel Lain