suria

Perintah Darurat Di Selatan Thailand Dilanjutkan

BANGKOK: Kerajaan Thailand hari ini melanjutkan perintah darurat di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat selama tiga bulan lagi, setelah melanjutkan tempoh itu sebanyak 20 kali sebelum ini.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata tempoh lanjutan itu akan bermula esok setelah tempoh perintah darurat sekarang berakhir hari ini.

Abhisit berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan kementerian dan agensi berkenaan untuk menimbang menarik balik perintah itu di beberapa kawasan yang keadaan keselamatannya bertambah baik.

"Mungkin bukan bagi seluruh wilayah, tapi kami akan pertimbang untuk menarik balik perintah ini di kawasan di mana keadaan telah pulih seperti sediakala," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet, Selasa.

Bagaimanapun, tarikh mesyuarat itu belum ditetapkan.

Lebih 4,000 orang maut sejak kumpulan pemisah menyambung kempen mereka untuk menuntut kemerdekaan tiga wilayah di selatan Thailand enam bulan lepas. Sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Deep South Watch berkata kira-kira 4,390 orang terbunuh dan 7,139 cedera dalam 10,284 kejadian keganasan yang berlaku di wilayah terbabit dalam tempoh enam tahun lepas.

Daripada jumlah mereka yang terbunuh, 60 peratus adalah umat Islam dan 38 peratus penganut Buddha, manakala dalam kalangan mereka yang cedera pula, 60 peratus adalah penganut Buddha dan 32 peratus umat Islam.

Awal bulan ini, 15 Jawatankuasa Islam Pusat yang mewakili wilayah selatan Thailand meminta kerajaan agar tidak lagi menggunakan pendekatan ketenteraan untuk menamatkan keganasan di tiga wilayah berkenaan.

Mereka mencadangkan agar kerajaan melaksanakan pendekatan secara aman seperti memberi status pentadbiran istimewa kepada penduduk untuk mengendalikan hal ehwal setempat dan menubuhkan kawasan industri makanan halal untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Mereka juga meminta kerajaan menjadikan wilayah berkenaan sebagai destinasi menarik bagi kegiatan keagamaan dan kebudayaan. - BERNAMA

Artikel Lain