suria

Malaysia, Thailand Setuju Kurangkan Aktiviti Ekonomi Di Sempadan

HAADYAI: Malaysia dan Thailand hari ini bersetuju untuk mengurangkan, jika tidak dihapuskan terus, halangan terhadap aktiviti ekonomi antara kedua-dua negara berjiran itu di sepanjang kawasan sempadan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata fokus bagi menghapuskan halangan itu ditujukan kepada perdagangan, pelaburan, industri halal, logistik dan pelancongan.

Dalam mesyuarat sulung dua hari Sidang Kemuncak Lima Dasar itu, sektor swasta kedua-dua pihak telah menimbulkan masalah untuk melakukan perniagaan di kawasan sempadan yang melibatkan perkara di bawah bidang kuasa kedua-dua kerajaan.

"Saya akan bincangkan dengan beberapa pihak berkuasa relevan mengenai beberapa cadangan yang dibuat kepada kerajaan Malaysia. Saya juga akan membincangkan dengan rakan sejawatan Thai saya beberapa isu tertentu seperti kastan dan imigresen."

"Sidang kemuncak ini bukan bagi kerajaan Malaysia dan Thailand semata-mata. Sektor swasta kedua-dua negara juga banyak terlibat. Secara keseluruhannya, kami gembira dengan hasilnya," katanya pada satu sidang media bersama.

Sidang kemuncak dua hari itu, yang berakhir hari ini, dihadiri oleh para pegawai dari lima negeri di Malaysia, iaitu Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang dan lima wilayah di selatan Thailand Narathiwat, Pattani, Yala, Satun dan Songkhla.

Mengenai lima bidang itu, Mukhriz berkata kedua-dua Malaysia dan Thailand telah bertukar-tukar pandangan mengenai kelebihan membangunkan industri halal kerana Thailand berpengkhususan dalam pengeluaran manakala Malaysia adalah pakar pemasaran.

"Thailand mencadangkan para pelabur Malaysia terlibat di dalam usahasama dengan ahli perniagaan Thai dalam Estet Perindustrian Halal Pattani manakala pelabur Malaysia mencadangkan dilakukan jaringan mengenai pembangunan produk halal dan penggunaan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pintu eksport utama.

"Mesyuarat itu juga mengambil maklum bahawa pengeluaran sijil halal adalah di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sektor swasta Malaysia juga meminta Thailand membeli bahan halal dari Malaysia," katanya.

Mengenai logistik, Mukhriz berkata kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk meneroka kemungkinan sempadan bersama Malaysia-Thailand menjadi satu zon ekonomi daripada satu zon keselamatan, selepas mengambil kira aktiviti ekonomi yang terjalin di sana.

Katanya prosedur kastam kedua-dua pihak masih mempunyai ruang untuk mempercepatkan penambahbaikan aktiviti perdagangan. Mengenai pelancongan, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan pembangunan produk pelancongan di dalam lima wilayah selatan Thailand dan lima negeri Malaysia dan membangunkan secara bersama pelancongan tempatan dan memudahkan para pelancong seperti tanda jalan dalam dua bahasa. "Dalam hubungan ini, sektor swasta Malaysia meminta diwujudkan persekitaran kondusif bagi perjalanan. Pihak Thai mencadangkan Malaysia menimbangkan pembukaan 24 jam pusat pemeriksaan sempadan Betong-Pengkalan Hulu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Thailand Alongkorn Ponlaboot berkata mesyuarat itu juga telah membincangkan penubuhan "Kad Perniagaan Lima Dasar" bagi memudahkan aktiviti rentas sempadan bagi para pemegang kad kedua-dua pihak.

Mengenai pelaburan, kedua-dua pihak bertukar-tukar maklumat mengenai layanan istimewa bagi pelaburan dalam lima wilayah Thailand dan lima negeri di Malaysia.

"Dewan perniagaan Malaysia juga menimbulkan isu pelanjutan pajakan tanah pertanian, yang kini sah bagi hanya 30 tahun dan juga keperluan untuk menyemak semula penyertaan ekuiti asing di bawah Akta Perniagaan Asing Thai," katanya.

Bagi sekretariat dan pusat hubungan Lima Dasar, Alongkorn berkata pihak Thai akan menggunakan pejabat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di Songkhla.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi lima bidang kerja.

"Daripada sidang kemuncak itu, kejayaannya adalah lebih daripada yang dijangka. Kami melihat terdapat peluang di masa depan pada sidang kemuncak yang akan datang."

"Kami juga membangunkan pengkalan data perindustrian agar kami dapat memuat naik data itu dalam laman web," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain