WHO: Ancaman Denggi Memuncak Bulan Depan - Dunia | mStar

WHO: Ancaman Denggi Memuncak Bulan Depan

NEW DELHI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa ancaman wabak denggi akan memuncak pada awal bulan depan iaitu ketika India menjadi tuan rumah Sukan Komanwel di ibu negara itu.

"Kes denggi sedang meningkat di Delhi walaupun situasinya lebih baik berbanding pada 1996 dan ia akan memuncak pada awal bulan depan.

"Ia bermula dari Julai, September dan Oktober adalah tempoh kritikal," kata Dr Chusak Prasittisuk, penyelaras penyakit bawaan vektor bagi Pejabat WHO Asia Tenggara, pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya situasi masih terkawal ekoran langkah secukup diambil oleh pihak berkuasa kesihatan Delhi bagi membendung penyakit itu.

Beliau mengakui jumlah bilangan kes denggi tidak dilaporkan sepenuhnya.

Dr Chusak juga menyifatkan situasi di India sebagai 'sederhana' berbanding negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Myanmar atau Sri Lanka di mana ribuan kes dilaporkan pada musim ini.

Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga India mendedahkan kira-kira 1,580 kes denggi dengan empat kematian dilaporkan di bandar raya itu antara Julai hingga bulan ini.

Kebanyakan acara Sukan Komanwel, dari 3 hingga 14 Okt ini, akan diadakan di Delhi di mana kerja-kerja pembinaan infrastruktur utama masih berjalan dengan cuaca monsun melanda utara negara itu.

Sementara itu, pegawai kementerian cuba menafikan kebimbangan tercetusnya wabak denggi di Delhi walaupun media melaporkan peningkatan kes, dengan tinggal 23 hari sahaja untuk temasya sukan itu.

"Keadaan bukan di luar kawalan di Delhi. Laporan kami menunjukkan semua tapak sukan bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes," kata setiausaha kementerian K. Sujatha Rao.

Ancaman wabak denggi di sekitar Delhi dalam tempoh beberapa minggu lepas telah mencetuskan kebimbangan negara peserta, menyebabkan beberapa pejabat kedutaan asing di sini ingin mendapatkan kepastian dan jaminan pihak berkuasa kesihatan sebelum ketibaan atlet akhir bulan ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain