suria

MIDA Gesa Ambil Kesempatan Pertumbuhan Permintaan Produk Halal Di China

XIAMEN: Syarikat Malaysia harus memanfaatkan peningkatan permintaan untuk produk halal di China, kata Ramli Bakar, Pengarah pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Guangzhou, China.

"Permintaan untuk produk halal di sini (China), semakin meningkat dan luas.

"Terdapat kira-kira 20 juta penduduk Islam di China," katanya kepada pemberita di luar Pameran Antarabangsa China ke-14 bagi Pelaburan dan Perdagangan (CIFIT 2010) di sini Rabu.

Pameran itu bermula hari ini sehingga 11 September.

Ramli berkata penduduk bukan Islam juga menunjukkan minat terhadap produk halal kerana ia bersih dan suci.

Katanya produk halal bukan hanya meliputi makanan, malah bahan bukan makanan seperti kosmetik.

"Pasarannya amat besar dan kita harus mengambil kesempatan terhadap peluang yang wujud dalam segmen ini," katanya.

Ramli berkata kebanyakan pelabur Malaysia di China terlibat dalam pembuatan produk makanan, perdagangan sarang burung serta industri aluminium dan logam di China.

"Semasa ini terdapat lebih daripada 200 syarikat pengeluaran Malaysia di China," katanya.

Pada masa ini, MIDA yang mempunyai dua pejabat di Guangzhou dan Shanghai, merancang membuka pejabat di Hong Kong tahun depan.

"Penambahan jumlah pejabat MIDA di China perlu untuk memudahkan pelaburan di Malaysia dan China," katanya.

Ramli berkata, dalam usaha untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, MIDA menyertai seminar perdagangan dan pelaburan, ekspo perniagaan serta menganjurkan sesi menyesuaikan perniagaan.

Kata beliau pelabur dari China berminat terhadap industri berasaskan sumber, pengeluaran produk getah, plastik dan logam di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain