suria

Malaysia Dan Thailand Boleh Bekerjasama Majukan Sektor Pelancongan

PHUKET: Pengusaha pelancongan di Malaysia dan Thailand digesa meningkatkan kerjasama serta mencari jalan untuk menghasilkan pakej produk yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya membabitkan Pulau Pinang, Langkawi dan Phuket.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata jika itu dilaksana, aliran pelancong melibatkan tiga destinasi terbabit akan meningkat.

"Kita berharap untuk melihat lebih ramai pelancong yang melawat Langkawi dan Pulau Pinang akan mengunjungi Phuket dan begitu juga sebaliknya," katanya kepada wartawan Malaysia pada majlis pengiktirafan komitmen dan sokongan pengusaha pelancongan Thailand, di sini malam tadi.

Ng yang berada di sini untuk memulakan lawatan kerja enam hari berkata sekalipun mempunyai ikatan daripada segi sejarah dan georgrafi, kedua-dua negara masih boleh bekerjasama erat kerana kedua-duanya memiliki produk pelancongan tersendiri.

Beliau memberi contoh sektor ekopelancongan Malaysia yang terkenal dengan hutan dara berusia 130 juta tahun dan kekayaan biodiversiti selain pengalaman membeli-belah sebagai antara produk yang berupaya menarik pelawat.

Ng juga mencadangkan agar ikatan sejarah membabitkan budaya Peranakan antara Pulau Pinang dan Phuket dipromosikan.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan pameran fotografi "Malaysia Through Eyes of the Thais" yang memaparkan 15 foto mercu tanda dan landskap Malaysia yang dirakam lapan jurugambar Thai.

Terdahulu Menteri Pelancongan itu melawat komuniti Peranakan di Phuket yang mendiami kawasan lama bandar di pulau peranginan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain