suria

Lima Mati, 28 Cedera Bila Masyarakat Merusuh Di Balai Polis

JAKARTA: Lima orang terbunuh manakala 28 lagi cedera apabila kira-kira 500 penduduk mengamuk dan merusuh di balai polis Biau, Sulawesi Tengah malam tadi kerana marah dengan kematian seorang anggota masyarakat dalam tahanan polis di balai berkenaan.

Kejadian pada kira-kira pukul 9.20 malam waktu Indonesia Tengah itu mengakibatkan lima maut akibat terkena tembakan manakala 28 yang lain cedera, selepas polis melepaskan tembakan amaran bagi menyuraikan rusuhan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Brigedier Jeneral Iskandar Hasan berkata perusuh merosakkan bangunan dan sebuah kederaan polis di kawasan itu, selain membakar sebuah motosikal.

"Masyarakat tempatan marah dengan kematian Kashmir Y Timumun, seorang pesalah trafik yang dilaporkan membunuh diri semasa dalam tahanan di balai polis itu, kerana mereka mengesyaki dia dibunuh," katanya pada satu persidangan akhbar di sini petang ini.

Polis sedang menyiasat kejadian itu walaupun hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat Kashmir mendapati tiada tanda-tanda kekerasan di tubuhnya.

Timbalan Ketua Polis Indonesia Komisioner Jeneral Jusuf Manggabarani melawat tempat kejadian pagi ini bagi meninjau keadaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain