suria

Sambutan Hari Merdeka Di New York, Ramai Diplomat Hadir

NEW YORK: Majlis sambutan Hari Merdeka Malaysia yang ke-53 pada Khamis petang di New York menarik ramai tetamu dengan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hamidon Ali dan isteri Datin Amy, menjadi tuan rumah.

Tarikan utama majlis itu ialah juadah makanan yang dihidangkan dengan cara yang menarik perhatian daripada sate ayam, kari ayam, karipap, rendang daging dan pastri yang manis dan buah-buahan dan teh tarik.

Majlis itu menarik kehadiran ramai diplomat termasuk staf kanan yang bekerja di pejabat Setiausaha Agung PBB Ban ki-Moon yang kelihatan berbual-bual dengan tetamu yang lain sambil menjamu selera.

Ketua-ketua agensi kerajaan yang lain di New York seperti Tourism Malaysia, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut hadir.

Seorang diplomat Scandinavia melahirkan penghargaan kepada mereka yang menyediakan hidangan Malaysia yang begitu sedap dan menarik yang dapat dinikmatinya buat kali pertama.

Penghargaan perlu diberi kepada kelab Perwakilan yang telah bekerja keras bagi menyediakan pelbagai hidangan bagi banyak majlis sebelum ini.

Bagi timbalan wakil tetap Malaysia Saiful Azam Abdullah, majlis ini merupakan kali pertama dihadirinya di New York selepas baru bertukar dari Frankfurt.

Turut hadir pemangku konsul besar Indonesia Bambang Antarikso. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain