suria

Rakyat Malaysia di UAE Sambut Hari Kebangsaan

DUBAI: Laungan penuh bersemangat "Merdeka" bergema memenuhi ruang apabila rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-53 di sini pada Selasa malam.

Majlis sambutan itu yang turut dihadiri para diplomat Asean yang bertugas di Dubai dan Abu Dhabi, diadakan bersama-sama dengan majlis berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di sini.

Sambutan itu bermula dengan bacaan doa untuk kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya dan diikuti lagu kebangsaan UAE dan Malaysia.

Turut hadir ialah Duta Malaysia ke UAE Datuk Yahaya Abdul Jabar, Konsul Besar di Dubai Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Abdul Hakim Asmaun, presiden Majlis Perniagaan Malaysia-Dubai yang menganjurkan majlis sambutan itu.

Kemudiannya ketiga-tiga mereka dengan disertai para diplomat Asean dan tetamu khas dari UAE naik ke pentas untuk acara memotong kek.

Dalam ucapannya, Yahaya berkata Malaysia boleh berbangga kerana ia telah berjaya menangani banyak cabaran dan halangan untuk membolehkannya mencatatkan pelbagai kejayaan selama ini.

Katanya bermula sebagai sebuah negara pertanian, Malaysia kini telah muncul sebagai sebuah negara moden berpendapatan sederhana dengan asas ekonomi yang kukuh.

Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Duta itu berkata perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan dalam sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Malaysia.

Dengan nada optimistik, beliau berkata: "Kita boleh mengatasi cabaran itu dengan mengamalkan sikap saling menghormati.

"Pengalaman luas kita dalam hubungan antara kaum boleh dijadikan panduan ketika kita bergerak ke depan dalam membina negara kita." -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain