suria

Misi Bantuan Kedua Kelab 1Malaysia Berlepas Ke Pakistan

SEPANG: Misi bantuan kemanusiaan kedua Kelab Putera 1Malaysia yang disertai sukarelawan dan anggota kelab berlepas ke Pakistan hari ini bagi membantu mangsa banjir di negara itu.

Misi bantuan itu yang disertai 68 orang dan diketuai Presiden kelab Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka pulang ke tanah air pada 12 September ini.

Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas, Abdul Azeez berkata misi kali ini membawa kira-kira 20 tan makanan, 15 tan bantuan perubatan dan 150 tan air mineral.

"Selain ahli-ahli kelab, kita juga membawa bersama 33 orang doktor, dan pembantu perubatan," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, di sini.

Beliau berkata misi akan dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang akan ditugas mengagih bantuan di Karachi, Lahore, Punjab, Islamabad serta beberapa kawasan pedalaman di Hyderabad.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata Jalur Gemilang juga akan dipacak di setiap perhentian rombongan itu kelak sempena sambutan kemerdekaan ke-53 negara.

Misi bantuan pertama yang diketuai Bendahari Kehormat kelab tersebut Abdul Mutalib Abdul Rahim berlepas pada 29 Ogos lepas dengan membawa empat tan barangan yang terdiri daripada keperluan harian seperti makanan, pakaian dan selimut serta peralatan perubatan.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata kelab itu terpaksa menolak permohonan ramai sukarelawan untuk menyertai misi kali ini kerana faktor keselamatan, manakala misi selepas ini akan dibuat mengikut keperluan negara tersebut.

Banjir yang melanda Pakistan baru-baru ini dilapor telah meragut kira-kira 1,600 nyawa dan menyebabkan sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, selain menjejaskan kehidupan kira-kira 3.5 juta lagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain