suria

Wanita Di Selatan India Dijadikan Kurier Dadah

CHENNAI: Ekoran penahanan dua wanita kerana disyaki mengedar dadah dalam tempoh seminggu, penyiasat di Selatan India mula mengesyaki bahawa kartel dadah di rantau ini kini menggunakan wanita tempatan sebagai kurier narkotik.

Selepas beberapa siri penumpasan sindiket dadah berprofil tinggi di Lapangan Terbang Chennai dan pelabuhan baru-baru ini, pintu masuk utama bagi menyeludup dadah ke India, pengedar dadah dipercayai menukar taktik mereka dengan mengupah wanita untuk menjalankan kegiatan kotor itu.

"Mereka kini cuba menipu pihak berkuasa dengan mengupah wanita dan seringkali mereka ini (wanita) diminta membawa dadah dalam kuantiti kecil.

"Sebelum ini, sindiket tersebut menggunakan wanita warga Thailand dan Filipina untuk membawa dadah ke negara Asia yang lain," kata seorang pegawai penyiasat kanan yang arif dengan pengedaran narkotik, kepada Bernama hari ini.

Dua wanita warga India, kedua-duanya berusia dalam lingkungan 40-an, telah ditahan di lapangan terbang itu ketika cuba nmenyeludup ephedrine (digunakan dalam penghasilan methamphetamine) dan heroin ke Malaysia awal minggu ini.

Isnin lepas, Unit Direktorat Risikan Hasil (DRI) di Chennai telah menahan seorang wanita bersama-sama lima lelaki di bandar itu dan merampas 30 kilogram ephedrine bernilai hampir RM4 juta di pasaran gelap.

Wanita itu disyaki cuba menaiki pesawat ke Malaysia. Matawang China turut ditemui dalam beg tangannya.

Dalam insiden lain, dua hari sebelumnya, pegawai kastam di Lapangan Terbang Chennai menahan seorang suspek, yang hanya dikenali sebagai Rajamma, ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Wanita berusia 40 tahun itu, dari negeri Andra Pradesh, diperiksa selepas berkelakuan mencurigakan sebelum menaiki pesawat.

Kira-kira 300 gram heroin ditemui tersembunyi di dalam blausnya. Ejen penguatkuasa undang-undang kini menumpukan perhatian ke atas sindiket yang cuba membariskan wanita untuk melaksanakan operasi gelap mereka di negara Asia Tenggara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain