India Nasihat Pekerja Ke Malaysia Berhati-hati - Dunia | mStar

India Nasihat Pekerja Ke Malaysia Berhati-hati

NEW DELHI: India memberikan amaran kepada para pekerjanya yang akan ke Malaysia supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan agensi pekerja asing yang tidak bertanggungjawab di kedua-dua negara India dan Malaysia.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Rakyat India di Luar Negara, sejumlah besar pekerja terpedaya dengan warga India tidak bertanggungjawab, serta rakyat Malaysia yang menjadi ejen pekerja asing, yang pergi ke Malaysia tanpa pengetahuan yang cukup mengenai majikan mereka, bentuk kerja dan kontrak pekerjaan.

"Akibatnya, pekerja India berkenaan menjadi bahan eksploitasi oleh majikan mereka di Malaysia dan sering kali terkandas di Malaysia tanpa pekerjaan dan kemudiannya mengadu ke Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur," menurut satu kenyataan kementerian itu di sini.

Kementerian itu menasihatkan para pekerja yang ingin mencari pekerjaan secara sah di Malaysia supaya memahami undang-undang dan situasi pekerjaan di negara itu.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 150,000 pekerja India, kebanyakannya dari India Selatan bekerja di Malaysia, sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan.

Kementerian itu menasihatkan para pekerja sentiasa membawa salinan pasport dan permit kerja mereka serta tidak melanggar undang-undang buruh Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut