suria

Malaysia Minat Tarik Lebih Ramai Pelajar Uzbek

TASHKENT: Malaysia berminat untuk menarik lebih ramai rakyat dari Uzbekistan untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia kerana kosnya tidak mahal berbanding dengan Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat, kata Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Abdul Aziz Harun.

"Pendidikan merupakan perniagaan yang besar sekarang. Kami telah mengadakan pesta pendidikan di Uzbekistan di mana kami berjaya dalam menarik minat kelas pertengahan untuk menghantar anak mereka belajar di Malaysia," katanya.

Abdul Aziz berkata kos pengajian di Malaysia adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat.

"Rakyat Uzbek boleh datang ke Malaysia untuk ijazah berganda dan sarjana di institusi swasta atau universiti-universiti kerajaan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya walaupun terdapat banyak bidang lain di mana rakyat Malaysia boleh meneroka, pendidikan berada di senarai teratas.

Satu lagi bidang yang menguntungkan ialah pelancongan, yang terus digalakkan dengan penerbangan terus oleh Uzbekistan Airways dari Tashkent ke Kuala Lumpur dan sebaliknya dua kali seminggu, katanya.

Abdul Aziz berkata bagi mereka yang ingin melawat Kuala Lumpur semasa musim sejuk dari Tashkent, mereka perlu menempah tiket tiga bulan lebih awal.

Ini kerana penerbangan itu bukan hanya dibuat bagi memenuhi keperluan rakyat Uzbek tetapi juga bagi mereka dari Tajikistan, Kyrgyzstan, Ukraine dan Rusia yang singgah di Tashkent untuk mengambil penerbangan sambungan ke Kuala Lumpur untuk bercuti, katanya.

Abdul Aziz berkata pada masa ini ada kira-kira 1,000 pelancong Uzbek di Malaysia dan mereka tinggal dua atau tiga minggu dan paling kurang seminggu.

"Jika mereka tinggal selama tiga minggu, kebanyakan mereka akan tinggal selama dua minggu di Langkawi dan seminggu di Kuala Lumpur," katanya sambil menambah bahawa sepanjang tempoh itu rakyat Uzbek akan melancong bersama kaum keluarga mereka.

Abdul Aziz berkata pelancongan perubatan juga satu lagi bidang yang boleh diteroka berikutan ketiadaan hospital swasta di Uzbekistan.

"Tidak ada hospital swasta di Uzbekistan dan bagi mereka yang inginkan rawatan di hospital swasta daripada hospital kerajaan, kami menggalakkan mereka untuk datang ke Malaysia di mana harganya adalah satu pertiga daripada kos di Eropah. Mereka boleh menghabiskan masa tiga minggu untuk pemeriksaan perubatan dan lainlain," katanya.

Mengenai hubungan dua hala, Abdul Aziz berkata ia telah dan akan diteruskan bagi mengukuhkannya dan ini boleh dilihat daripada pelbagai pertukaran lawatan di peringkat tinggi di antara kedua buah negara.

Katanya hubungan itu semakin rapat apabila mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Uzbekistan pada 1993 setahun selepas hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan bermula manakala mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melawat Uzbekistan pada 2008.

Pada 2003, Yang diPertuan Agong pada masa itu, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Jamalullail melawat Uzbekistan dan pada 2005 Presiden Uzbekistan Islam Karimov melakukan lawatan negara ke Malaysia, lawatan keduanya, atas jemputan Tuanku Syed Sirajuddin.

"Ia merupakan peristiwa penting dalam hubungan MalaysiaUzbekistan di mana banyak memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dan apa yang paling penting kerjasama dalam bidang penerokaan minyak di mana Malaysia diberi peluang untuk mencarigali minyak dan gas di Uzbekistan.

"Pada masa itu, kita sedang berusaha untuk menembusi sektor minyak dan gas Uzbekistan tetapi ia bukanlah mudah. Bagaimanapun, dengan lawatan Presiden Karimov ke Malaysia, Petronas diberi kepercayaan bagi usaha mencarigali minyak dan gas di Uzbekistan," katanya.

Semasa lawatan Abdullah ke Uzbekistan, MoU dalam bidang sains dan teknologi dan pendidikan tinggi telah ditandatangani.

Uzbekistan, sebuah negara dengan 27 juta penduduk, mengisytiharkan kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991. Ia baru sahaja mengadakan pilihan raya peringkat parlimen kali ketiga pada 27 Disember, tahun lepas.

Ia merupakan satu daripada lima republik bekas Soviet di Asia Tengah yang padat dengan penduduk, mempunyai simpanan minyak dan gas terbesar dan di antara 10 pengeluar terbesar emas dunia dan pengeksport kedua terbesar kapas. Uzbekistan juga mempunyai simpanan uranium yang banyak. - BERNAMA

Artikel Lain