suria

Rakyat Iran mula mengundi pilih Presiden baru

TEHERAN: Lebih 46 juta rakyat Iran mula keluar untuk mengundi bagi memilih Presiden baru dalam saingan ketat antara penyandang Mahmoud Ahmadinejad dan Mir Hossein Mousavi yang disifatkan oleh Barat sebagai pemimpin berpendirian sederhana.

Proses pengundian akan berlangsung selama 10 jam, bermula pukul 8 pagi waktu tempatan (11.30 pagi waktu Malaysia).

Lebih 45,000 pusat pengundian dibuka sejak awal pagi tadi.

"Proses pengundian telah bermula di seluruh negara, sejak pukul 8 pagi tadi (waktu tempatan). Ia berlangsung mengikut jadual. Ia akan berlangsung sehingga 6 petang (waktu tempatan)," kata Kementerian Dalam Negeri, yang menguruskan pemilihan presiden, dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Bagaimanapun pusat-pusat pengundian akan dibuka sehingga tengah malam bergantung pada peratusan pemilih yang keluar mengundi.

Keputusan dijangka keluar dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian berakhir.

Ia merupakan pemilihan presiden kali ke-10 sejak Revolusi Iran 1979.

Pemilihan kali ini dilihat sebagai pungutan suara terhadap kepimpinan Mahmoud yang lantang mengecam dasar negara-negara Barat dan dasar-dasarnya di republik Islam itu sepanjang empat tahun lalu.

Dua lagi pencabar dekat pada pilihan raya presiden kali ini ialah Mohsen Rezaei dan reformis Mahdi Karroubi. AP

Artikel Sebelum

Artikel Lain