suria

Bukan sahaja enjin, wiper kereta juga perlu dijaga sepanjang PKP, ikuti 5 tip berguna ini

Periksa kenderaan anda secara berkala sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan sebarang masalah.

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, ramai daripada kita tidak keluar rumah bagi mematuhi arahan itu.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sepanjang tempoh tersebut termasuklah mengambil berat tentang kenderaan anda yang ditinggalkan di luar rumah atau kawasan letak kereta bagi yang menetap di apartment.

ARTIKEL BERKAITAN: Media sosial peneman sepanjang PKP, resepi paling banyak dikongsi

Sebenarnya meskipun kereta tidak digunakan, anda masih perlu melakukan penyelenggaraan bagi memastikan ia tidak rosak kerana terlalu lama dibiarkan.

Berikut adalah lima perkara yang perlu anda beri perhatian dan lakukan bagi memastikan apabila tempoh PKP berakhir anda tidak berdepan masalah kereta.

1. Hidupkan enjin kereta selama 5 minit

Kenderaan perlu dihidupkan dalam tempoh tertentu bagi mengekalkan fungsinya dan mengelakkan daripada sebarang masalah, sebaik-baiknya hidupkan kereta anda selama 5 minit setiap pagi.

Ini bagi membolehkan alternator sentiasa berfungsi selain memastikan bateri dapat dicas seperti biasa untuk membolehkan ia membekalkan kuasa elektrik pada bahagian lain.

Sekiranya anda tidak menghidupkan enjin kereta secara berkala, ia dikhuatiri akan menyebabkan bateri lemah dan seterusnya menyebabkan kereta tidak dapat dihidupkan.

2. Periksa paras minyak hitam

Sebelum menghidupkan enjin kereta, cuba periksa tahap minyak hitam kereta terlebih dahulu bagi memastikan ia berada di paras normal.

Sekiranya kurang, sebaik-baiknya ia ditambah terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah lain pada kenderaan anda.

3. Periksa angin dan keadaan tayar

Antara perkara lain yang harus diberikan perhatian adalah tekanan angin tayar dan memastikan kandungan angin mencukupi. Selain itu periksa juga sekiranya terdapat sebarang rekahan dan 'bunga' tayar berada dalam keadaan baik.

Jika kereta sudah tidak bergerak dan diletakkan ditempat sama untuk satu jangka tempoh, cuba gerakkan kereta ke depan atau ke belakang bagi membolehkan kedudukan tayar berubah sewaktu memanaskan kenderaan bagi mengelakkan tayar merekah.

4. Penjagaan penggilap (wiper) cermin

Ramai yang terlepas pandang terhadap penjagaan penggilap cermin kerana merasakan ia tidak penting namun anda salah.

Sebaliknya, jika kereta anda diparkir ditempat terbuka dan terdedah kepada sinaran matahari, angkat penggilap cermin bagi mengelakkan getah mengeras dan rosak. Periksa juga kadar air dalam tempat simpanan penggilap cermin dan pastikan ia sentiasa cukup.

5. Jaga kebersihan kereta

Tempoh PKP bukan bererti anda tidak perlu menjaga kebersihan kereta anda. Jika ada masa terluang, cuci kereta anda agar sentiasa nampak berkilat.

Apabila tempoh PKP ini berakhir nanti, tidaklah kereta anda nampak usang di jalan raya!

cOVID-19, PKP, Kereta, Bateri, Minyak Hitam, Tayar

Artikel Lain