Jualan merosot, ramai beralih ke Android, bila Apple diramal umum keluaran iPhone 11 tahun ini? - I-suke | mStar

Jualan merosot, ramai beralih ke Android, bila Apple diramal umum keluaran iPhone 11 tahun ini?

Apple perlu memperkenalkan keluaran iPhone yang lebih menarik untuk mengekalkan kesetiaan pelanggannya.

SETIAP tahun, Apple perlu memperkenalkan sesuatu yang menarik jika mahu orang ramai terus tertunggu-tunggu keluaran iPhone seterusnya.

Perkara yang sama perlu dilakukannya terutamanya untuk tahun ini.

Dengan jualan iPhone merosot 12 peratus pada suku ketiga fiskal 2019, keuntungan dijangka menurun sehingga AS$9.6 bilion dan lebih ramai yang beralih arah dari iPhone kepada Android, syarikat itu perlu memastikan iPhone 11, 11R dan 11 Max (atau apa sahaja namanya) menarik dalam usaha 'memancing' pelanggan baharu atau mengekalkan kesetiaan pelanggan semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian menunjukkan ramai pengguna jual iPhone mereka, beli telefon Android

Jadi bilakah Apple akan mengumumkan secara rasmi tentang keluaran iPhone 2019?

Syarikat itu setakat ini belum menghantar sebarang jemputan kepada mana-mana outlet iPhone, tetapi berdasarkan tahun-tahun sebelum ini, laman cnet.com meramalkan Apple akan memperkenalkan iPhone seterusnya pada 10 September ini.

Bagaimanapun ini hanya satu ramalan sahaja tanpa mendapat pengesahan dari Apple sendiri sama ada tarikh ini betul atau tidak kerana Apple tidak membalas permintaan untuk mendapatkan komen.

Tetapi, terdapat beberapa sebab mengapa tarikh ini dikatakan yang paling baik.

Selama tujuh tahun yang lalu Apple telah mengumumkan tentang keluaran iPhone sama ada pada minggu yang sama dengan Hari Buruh di Amerika Syarikat (AS), iaitu pada Isnin pertama bulan September atau minggu berikutnya.

Pada masa lalu, jika cuti umum di AS jatuh pada 3 September atau lebih awal, Apple membuat pengumuman tentang iPhonenya pada minggu berikutnya.

Apabila Hari Buruh jatuh pada pada 5 September atau lebih lewat, seperti yang berlaku pada tahun 2015 dan 2016, Apple mengumumkan tentang iPhone pada Rabu berikutnya (dua hari selepas Hari Buruh), seperti ditunjukkan pada carta di bawah.

Tahun ini, Hari Buruh di AS adalah pada hari Isnin, 2 September.

Jika melihat kepada paten yang sama, Apple akan mengumumkan tentang iPhone baharunya pada Selasa atau Rabu (10 September atau 11 September).

Disebabkan tarikh 11 September mungkin bukan tarikh terbaik untuk AS, diramalkan ia akan berlaku pada 10 September.

Turut diramalkan tempahan awal akan bermula pada Jumaat, 13 September.

Tarikh itu juga bersesuaian dengan tarikh ia mula dijual dan tarikh penghantaran yang dijangkakan, iaitu pada Jumaat, 20 September.

Sepanjang tempoh tujuh tahun lalu, pelanggan boleh membeli iPhone keluaran terbaharu di outlet Apple pada hari Jumaat, sekitar minggu ketiga September, kira-kira seminggu setengah selepas Apple membuat pengumumannya.

Penghantaran iPhone khusus, seperti iPhone XR, iPhone X dan iPhone SE bagaimanapun dibuat pada tempoh masa mereka sendiri.

Disebabkan iPhone XR pada masa itu boleh didapati pada bulan Oktober, ada kemungkinan iPhone 11R juga akan berada di tangan pengguna pada bulan Oktober.

Kesimpulannya, diramalkan Apple akan mengumumkan tentang iPhone baharunya pada 10 September, tempahan awal pada 13 September dan penghantaran bermula 20 September. -Cnet

iPhone 2019 , Apple , jualan , iPhone 11

Artikel Lain