suria

Peluang melaram baju tradisional di Rumah Budaya 'Culture House' Menara KL

Pelbagai baju tradisional daripada semua negeri di Malaysia ada di Rumah Budaya 'Culture House' di Menara Kuala Lumpur.

KEGHAIRAHAN masyarakat kita yang tidak melepaskan peluang mencuba pakaian tradisional seperti di Jepun dan Korea telah memberi idea kepada pelakon dan pengarah Erma Fatima untuk mengangkat seni warisan serta kebudayaan Malaysia di mata pelancong.

Menyedari masih belum ada mana-mana lokasi tumpuan pelancong menawarkan perkhidmatan sewaan baju tradisional kepada pelancong, Erma berkata dia terpanggil untuk berbuat demikian.

Rumah Budaya 'Culture House' yang dibuka kepada orang ramai di Menara Kuala Lumpur sejak April lalu adalah bukti kesungguhannya untuk mengangkat budaya masyarakat kepada pelancong.

Erma bersama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah yang melancarkan Rumah Budaya 'Culture House' baru-baru ini.

"Saya pilih Menara Kuala Lumpur kerana ia tempat tumpuan pelancong dan menerusi kaji selidik dilakukan ternyata ramai berminat untuk mengetahui tentang pakaian tradisional kita.

"Alhamdulillah dengan kerjasama pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur sendiri akhirnya impian untuk melihat pelancong dari luar negara melaram baju tradisional kita terlaksana," katanya.

Pakaian simbol budaya

Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Erma berkata, pakaian dapat menceritakan banyak perkara mengenai Malaysia kepada pelancong kerana ia adalah simbol budaya yang menandakan perkembangan dan pengkhususan budaya tertentu.

Baju etnik di Sabah dan Sarawak juga turut disediakan.

Atas dasar itu, pihaknya menyediakan pakaian melambangkan setiap bangsa dan negeri di Malaysia termasuk beberapa etnik di Sabah dan Sarawak kepada pelancong yang berminat.

"Setiap kaum dan etnik di Malaysia mempunyai warisan dan kesenian masing-masing. Sayang jika ia tidak diketengahkan kepada pelancong yang datang ke Malaysia.

"Buat permulaan saya sediakan 100 pasang baju pelbagai jenis pakaian tradisional yang semuanya ditempah khas mengikut ukuran dan rekaan sebenar.

"Alhamdulillah pihak Istana Budaya juga banyak membantu apabila pereka fesyen mereka banyak menolong dalam memastikan semua rekaan itu tepat," katanya.

Erma turut menjadikan tempat tersebut sebagai pusat sehenti bagi membantu usahawan IKS menjual produk mereka.

Boleh melaram sampai Sky Deck Menara KL

Erma berkata, pelancong atau masyarakat tempatan yang berminat untuk mencuba pakaian tradisional itu hanya perlu membayar wang sewaan sebanyak RM150 untuk tempoh 30 minit ke satu jam.

Selain mengambil gambar di studio dalam butik, pelanggan juga boleh melaram baju yang dipakai di beberapa tempat menarik di Menara Kuala Lumpur termasuk di Syk Deck.

Sementara itu, Erma berkata, konsep Rumah Budaya 'Culture House' tidak hanya terhenti di situ sahaja sebaliknya merancang untuk mengadakan pertunjukkan kebudayaan, permainan tradisional serta adat perkahwinan di Malaysia kepada pelancong.

Erma juga berhasrat menjadikan Menara KL sebagai tempat pertunjukan kebudayaan.

Malah kata Erma, dia ingin menjadikan tempat itu sebagai pusat sehenti untuk menjual produk-produk keluaran daripada Industri Kecil Sederhana (IKS) dan kraftangan usahawan kecil.

"Insya-Allah saya nampak perkara ini banyak ruang dan peluang untuk dikembangkan kerana tiada tempat tumpuan pelancong menawarkan perkhidmatan seperti ini.

"Saya harap Rumah Budaya 'Culture House' ini dapat dikembangkan ke beberapa kawasan lain seperti di Warisan Putrajaya, Matic dan sebagainya pada masa hadapan," jelasnya.

Artikel Lain