suria

Senang nak ‘left group’ senyap-senyap, ciri baharu WhatsApp juga boleh sembunyi status ‘online’

WhatsApp bakal memperkenalkan beberapa ciri privasi baharu. Gambar hiasan

TIDAK dinafikan, ada kalanya kita berasa 'rimas' apabila terlalu banyak mendapat undangan sebagai ahli grup di aplikasi WhatsApp.

Terlintas untuk left sahaja grup yang dianggap kurang penting namun hasrat tersebut dipendam demi menjaga hati ahli grup yang lain.

Nah, perkara itu pasti tidak lagi menjadi masalah apabila aplikasi WhatsApp mengumumkan beberapa kemas kini baharu pada Selasa, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Antaranya, selepas ini pengguna boleh keluar daripada kumpulan secara senyap tanpa ada tulisan menunjukkannya sudah left group.

Kemas kini melibatkan privasi aplikasi ini juga termasuk, pengguna boleh membaca mesej diterima tanpa mendedahkan ia sudah dibaca atau sebaliknya.

Selain itu, ia membenarkan pengguna menentukan siapa yang boleh melihat apabila mereka sedang online dan menghalang orang lain melakukan tangkap layar terhadap mesej pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: WhatsApp perkenal ciri baharu, lenyapkan mesej menjengkelkan dari pandangan buat selamanya

Menerusi Facebook dan Instagramnya, Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg berkata syarikat itu akan terus membina cara baharu untuk melindungi mesej dan memastikannya selamat seperti perbualan bersemuka.

Untuk rekod, WhatsApp mempunyai lebih daripada dua bilion pengguna di seluruh dunia dan dimiliki oleh syarikat induk Facebook (FB) Meta.

Sementara itu, Ketua Produk WhatsApp, Ami Vora berkata platform itu tertumpu pada membina ciri yang memperkasakan pengguna untuk mempunyai lebih kawalan dan privasi ke atas mesej.

"Selama bertahun-tahun, kami menambahkan perlindungan untuk membantu memastikan perbualan pengguna selamat, dan ciri baharu itu adalah salah satu cara untuk kami terus menyampaikan komitmen bagi memastikan mesej kekal peribadi," katanya.

"Tiada perkhidmatan pemesejan global lain pada skala ini yang menyediakan tahap keselamatan sebegini untuk mesej, media, mesej suara, panggilan video dan sandaran sembang pengguna mereka.

"Kami percaya WhatsApp adalah tempat paling selamat untuk mengadakan perbualan peribadi," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain