suria

Bakat luar biasa! Di sebalik sikap pemalu, suka main patung Barbie... kanak-kanak 7 tahun ini aktif sukan motocross

Arissa menggemari sukan lasak motorcross sejak berusia 4 tahun.

SAMA seperti kanak-kanak perempuan lain seusianya, gadis cilik ini juga gemar bermain dengan anak patung Barbie dan juga masak-masak.

Seorang yang periang namun sedikit pemalu, siapa sangka si kecil bernama Sophie Arissa Mohamad Naem mempunyai hobi yang bukan calang-calang, iaitu menunggang motocross.

Melihat video-video yang dikongsikan oleh bapanya, Mohamad Naem, di laman sosial TikTok, timbul rasa kagum melihat aksi lincah dirinya yang berusia tujuh tahun ini bermain sukan lasak sungguhpun bertubuh kecil dan dikelilingi peserta lelaki!

motorcross 2

Lincah beraksi di track perlumbaan motorcross.

Menurut Mohamad Naem, anak sulungnya yang senang disapa sebagai Jelita itu sudah mula menunjukkan minat sejak berusia dua tahun apabila berjinak-jinak dengan sukan 'push bike'.

"Jelita mencuba menunggang motor pertama pada usia empat tahun setengah, ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.

"Dia terus boleh menunggang kerana mempunyai asas dalam imbangan badan sebab dah terbiasa dengan sukan push bike.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Dua beradik qari qariah cipta kejayaan Tilawah al-Quran, rupanya mak ayah mereka pun bukan biasa-biasa

ARTIKEL BERKAITAN: Miskin tak halang kejayaan! 13 tahun membesar di rumah anak yatim, kini berjaya genggam PhD

"Namun saya yang banyak melatih Jelita sejak di awal penglibatannya sehingga sekarang. Dia mula berlatih di track MFG Damansara bersama Sifu Oh Kah Beng.

"Jika tiada pertandingan atau aktiviti lain, jelita akan berlatih setiap Sabtu atau Ahad," ujar bapa kepada dua anak ini.

Buat masa ini ujar Mohamad Naem, Jelita mempunyai dua buah motor iaitu model KTM sx mini dan 50cc.

motorcross 5

Arissa (kanan) merupakan perserta termuda dalam perlumbaan yang disertainya Jun lalu.

Sepanjang kira-kira tiga tahun berkecimpung dalam sukan motocross, pelajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Cheras ini telah menyertai pelbagai pertandingan perlumbaan dalam kategori usianya.

Pernah menjadi peserta tunggal kanak-kanak perempuan, namun perkara tersebut sama sekali tidak membuatkan si kecil ini gentar.

Antara perlumbaan motocross yang pernah disertai Jelita adalah Keratong Track Day 2021 dan 2022 (Pahang), Sendayan MX Kids Fun Race 2021, Buragas All Star (Selangor) dan KTM Track Day (Pulau Pinang).

Untuk perlumbaan motocross yang disertainya, Jelita berjaya menempatkan diri dalam 'ranking' 10 teratas senarai pemenang.

motorcross 6

Arissa (kiri) bersama rakan-rakan pelumba perempuan.

"Untuk pertandingan push bike, Jelita memenangi pelbagai pertandingan di seluruh Malaysia dan pernah mendapat tempat pertama dan tersenarai sebagai top 5," ujar Mohamad Naem yang bekerja dalam bidang pengangkutan.

Sungguhpun aktif dalam sukan lasak, namun ujar Mohamad Naem, karakter Jelita sama seperti kanak-kanak perempuan yang lain.

"Dia seorang yang ceria dan juga pemalu apabila disapa orang yang mengenali dia. Sangat rajin membantu mummy dan daddy di rumah. Dia juga suka buat aktiviti lain seperti menyertai kelas gimnastik. Malah dia bercita-cita nak jadi cef.

Semua sukan ada risiko tersendiri namun aspek keselamatan paling utama yang harus diambil kira dan tak dipandang lewa.

MOHAMAD NAEM

BAPA

"Biarpun dia kanak-kanak perempuan, namun itu tak mematahkan semangatnya untuk bersaing dengan budak lelaki dan lebih berusia darinya.

"Dia sangat berani dan lasak apabila berada di track," kata Mohamad Naem sambil menambah, anak keduanya, Mohamad Naail Emir turut mengikut jejak langkah Jelita yang menggemari motocross.

Bercerita lebih lanjut, Mohamad Naem berkata dia dan isteri sentiasa memberi galakan terhadap apa jua hobi kedua-dua cahaya mata mereka.

motorcross 3

Arissa mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapa dalam setiap perkara yang diminatinya.

"Semua sukan ada risiko tersendiri namun aspek keselamatan paling utama yang harus diambil kira dan tak dipandang lewa.

"Antara safety equipment yang perlu ada adalah body armour, neck protector, goggle, helmet, boots, knee pad, hand guard.

"Walaupun ekstrem, aspek keselamatan paling utama dan harus dijaga bukan sahaja untuk rider malah jentera juga penting diambil kira maintenance supaya motor selamat ditunggang," ujarnya lagi.

motorcross 4

Arissa bersama adik lelakinya turut aktif dalam sukan 'push bike'.

Tidak mahu mensia-siakan bakat Jelita, Mohamad Naem berkata dia dan isteri sememangnya mempunyai rencana tersendiri untuk masa hadapan anak sulung mereka.

"Harapan saya, semoga ada pihak yang buka mata dengan sukan motocross untuk kanak-kanak bagi melahirkan generasi pelapis negara dan membawa mereka ke peringkat antarabangsa.

"Dengan penglibatan Jelita sebagai rider, moga ia dapat memecahkan stereotaip yang memandang rendah terhadap rider perempuan yang mampu juga bersaing seiring rider yang lain," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain