suria

Wanita ini pakar pujuk ‘kaki sondol’, tawar servis ‘slow talk’ dengan perempuan simpanan henti kacau suami orang

Zhenxi telah berjaya memujuk lebih 800 perempuan simpanan dalam tempoh setahun. Foto: The Paper

MEMANFAATKAN kemahiran yang dimiliki dan menjadikannya sebagai kerjaya adalah satu perkara yang normal.

Contohnya tukang jahit, pendandan rambut, pembuat kek, penggubah bunga dan pelbagai lagi jenis pekerjaan berdasarkan kemahiran.

Namun, pernahkah anda mendengar kerjaya sebagai tukang pujuk?

Janggal dan jarang sekali, bukan? Tetapi itulah yang dilakukan oleh seorang wanita bernama Wang Zhenxi yang berasal dari Luoyang, wilayah Henan, China ini.

GURU 4

Zhenxi dikenali sebagai Guru Pemujuk Perempuan Simpanan di China.

Zhenxi menjadi perhatian ramai disebabkan mempunyai kemahiran dalam memujuk perempuan simpanan agar mereka menamatkan hubungan dengan suami orang.

Di China, Zhenxi dikenali sebagai Guru Pemujuk Perempuan Simpanan, di mana ia merupakan satu pekerjaan profesional.

Tugas utama Zhenxi adalah meyakinkan wanita yang terjebak sebagai orang ketiga atau 'kaki sondol' agar berhenti bercinta dengan suami orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepuasan seksual, masalah mental antara 6 sebab suami sanggup berlaku curang!

Kedengaran seperti aneh, namun pencapaian Zhenxi membuktikan kerjayanya bukan sekadar rekaan atau suka-suka sahaja.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan Zhenxi telah berjaya memujuk lebih 800 perempuan simpanan dalam masa setahun! Hebat bukan?

Sebenarnya, wanita tersebut turut mempunyai sejarah berkaitan dengan 'orang ketiga'.

Zhenxi baru-baru ini mendedahkan kepada akhbar The Paper bahawa bekas suaminya berkahwin dengannya hanya untuk menggembirakan ibu bapanya sendiri.

GURU 2

Kerjaya Zhenxi memerlukannya menggunakan teknik 'slow talk' dengan wanita simpanan.

Ujar Zhenxi, lelaki tersebut sebenarnya masih berhubung dengan bekas kekasihnya dan menjalin kembali hubungan percintaan dengan wanita tersebut walaupun sudah berkahwin dengannya.

Zhenxi memfailkan penceraian selepas menyedari kecurangan lelaki tersebut.

Bukan kisah perkahwinannya sahaja, malah kisah ibu bapanya turut mempunyai sejarah dengan 'orang ketiga'.

Ayahnya dikatakan curang terhadap ibunya ketika dia sedang membesar, justeru dia mengetahui secara langsung kesan negatif hubungan luar nikah terhadap keluarga.

Dua kisah tersebut membuatkan Zhenxi tekad mengejar kerjaya sebagai pemujuk perempuan simpanan paling berjaya di China.

Tidak menggunakan kekerasan seperti memalukan atau memukul perempuan simpanan di khalayak ramai, pemujuk profesional menumpukan perhatian untuk mendekati sasaran mereka dan menggunakan kaedah yang lebih 'lembut'.

GURU 3

Ada kalanya Zhenxi perlu menggunakan kaedah psikologi ketika memujuk wanita simpanan.

Zhenxi mendedahkan, selepas dihubungi oleh klien iaitu isteri yang dicurangi suami, langkah pertamanya ialah mengenal pasti perempuan simpanan tersebut dan cuba mendekatinya.

Ia biasanya melibatkan tempoh pengawasan dan pemerhatian termasuk lokasi yang sering dikunjungi, mengenal pasti ahli keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Meyakinkan perempuan simpanan untuk menamatkan hubungan dengan suami orang bukan mudah, dan Zhenxi mengakui dia ada kalanya perlu berusaha lebih keras.

Bagi sesetengah kes, dia perlu menggunakan kaedah dan taktik psikologi yang diilhamkan oleh Sun Tzu. - Oddity Central

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain