suria

Hargai nilai hutan... Pengurusan rapi dan rantaian produk kayu mampan kunci kekalnya warisan alam negara

Adalah penting untuk menjaga hutan kerana ia memberi banyak manfaat kepada manusia.

TIDAK dapat dinafikan bahawa hutan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan di bumi ini memandangkan ia adalah tempat berteduh bagi lebih daripada 80 peratus haiwan dan tumbuh-tumbuhan di seluruh dunia.

Malaysia amat beruntung kerana masih mempunyai hutan yang menempatkan pokok-pokok yang menjulang tinggi, malahan ada di antaranya melebihi 80 meter.

Hutan di negara ini adalah antara ekosistem hutan yang tertua dan paling kompleks di dunia dengan kepelbagaian flora dan fauna.

ARTIKEL BERKAITAN: Pensijilan jadi kunci utama ke arah keseimbangan pemuliharaan hutan dan pembangunan industri kayu

Selain mempunyai kepelbagaian biologi yang luar biasa, hutan adalah satu penyelesaian berasaskan alam untuk memerangi masalah global yang kritikal: perubahan iklim. Kemampuan hutan untuk menyerap dan menyimpan karbon membolehkan ia untuk merendahkan sejumlah besar tahap karbon dioksida daripada atmosfera.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hutan turut memainkan peranan penting dalam perlindungan sumber air global malah sebahagian besar air minuman di dunia berasal dari kawasan hutan.

Selain itu, dari segi ekonomi pula, hutan memberikan sumbangan besar kepada sektor ekonomi di peringkat wilayah dan nasional di mana perusahaan berasaskan perhutanan merangkumi sekitar 13 peratus hingga 15 peratus daripada semua pekerjaan bukan pertanian di luar bandar.

Menurut Kesatuan Organisasi Penyelidikan Hutan Aantarabangsa, ini adalah setara dengan 17 juta pekerjaan sektor formal dan 30 juta pekerjaan di sektor biasa.

Hutan di Malaysia juga adalah rumah bagi pelbagai suku Orang Asal di negara ini.

"Sejak berabad lamanya hutan di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memberikan banyak manfaat kepada manusia termasuklah penyediaan air bersih dan udara serta sumber-sember penting seperti makanan, kayu dan ubat-ubatan.

"Oleh itu, sumber-sumber hutan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah warisan alam yang kaya dan mesti dilindungi untuk kepentingan generasi sekarang dan akan datang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), Yong Teng Koon.

Beliau berkata dengan mengambil kira perkara itu, dilema yang wujud adalah untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan industri, dan memastikan penggunaan aset berharga tersebut tidak akan menghakis warisan alam semula jadi Malaysia pada masa yang sama.

Beliau percaya bahawa jalan penyelesaian yang tepat kepada dilema itu terletak kepada pengambilan hasil alam secara bertanggungjawab dengan melaksanakan amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dan mendapatkan pensijilan yang sah.

Ini adalah kerana SFM mengambil kira tiga tonggak kelestarian yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan persekitaran yang sangat penting dalam memastikan masa depan hutan dan hidupan di dalamnya terjamin.

"Berpegang kepada cogan kata ‘Sustainable Forest Sustainable Future’ MTCC menganggap bahawa kelestarian hutan adalah kelestarian masa depan Malaysia. Selain itu, SFM juga sangat penting untuk kemampanan industri kayu di negara ini," ujarnya.



Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC), Yong Teng Koon.

Memerangi amalan tidak lestari

Yong memberitahu MTCC telah berada di barisan hadapan dalam menerajui SFM bagi hutan asli dan ladang hutan di samping memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat untuk produk kayu bersijil.

Dalam mengembangkan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), skim nasional secara sukarela ini menyediakan penilaian bebas terhadap amalan pengurusan hutan dan urusan audit bagi pengeluar atau pengeksport produk kayu. Dalam hal ini, pihak penilai bebas berusaha memastikan produk tersebut dihasilkan atau dieksport dari sumber hutan yang diuruskan secara mampan.

MTCS adalah satu skim yang diiktiraf oleh “Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC)” sejak Mei 2009 dan merupakan skim pensijilan kayu tropika pertama di rantau Asia Pasifik yang diiktiraf oleh PEFC.

Pensijilan pengurusan hutan untuk hutan asli dan ladang hutan melibatkan penilaian pihak ketiga oleh badan bersijil. Ini adalah untuk memastikan amalan pengurusan hutan dilaksanakan di kawasan hutan tertentu atau Unit Pengurusan Hutan (FMU) serta memenuhi syarat dan kriteria yang termaktub dalam standard SFM.

Yong berkata kekuatan pensijilan tersebut terletak kepada pengawasan yang telus, tersusun dan berterusan oleh badan pensijilan bebas berkaitan pengurusan sumber hutan.

"Dalam mematuhi syarat untuk SFM seperti yang digariskan dalam standard pensijilan pengurusan hutan, pensijilan memerlukan pengurus hutan mengambil tindakan yang mungkin melangkaui undang-undang persekutuan dan negeri," katanya.

Menurut beliau, antara tindakan-tindakan tersebut termasuklah keperluan melakukan rundingan semasa proses pengauditan dengan pihak berkepentingan mengenai hal-hal berkaitan hak peribumi, kesan aktiviti pengurusan hutan untuk kelangsungan masyarakat tempatan serta memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja.

Ini katanya adalah tambahan kepada keperluan untuk melindungi sumber hutan dan ekosistem serta memberikan perkhidmatan yang signifikan dalam pembekalan air bersih, udara segar dan sebagainya - demi kepentingan generasi sekarang dan akan datang.

Hal ini sangat penting untuk diberi perhatian agar ia selari dengan pelan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG).

Meskipun kesemua 17 SDG berkait rapat dengan peranan MTCC, SDG 15 yang bertujuan untuk melindungi, memulihkan dan menggalakkan penggunaan ekosistem terestrial secara mampan, pengurusan hutan lestari, memerangi penggurunan, menghentikan kemerosotan tanah serta menghentikan kehilangan biodiversiti adalah paling relevan dengan sasaran MTCC.

"Memastikan hutan negara dikendalikan dengan baik melalui MTCS akan menjadi langkah penting ke arah itu," katanya lagi.

Yong berkata Hari Hutan Antarabangsa ke-9 yang disambut pada 21 Mac yang membawa tema 'Pemulihan Hutan: Jalan menuju pemulihan dan kesejahteraan' sewajarnya perlu dihayati masyarakat dan memberi kesedaran akan kepentingan usaha-usaha pemulihan hutan untuk masa depan.



Peranan dan strategi MTCC 2020-2025.

"Sekiranya hutan dijaga dengan lebih baik dan pensijilan hutan dilakukan lebih awal, sudah pasti usaha -usaha pemulihan yang melibatkan kos tinggi hari ini dapat diminimumkan. Namun, masih belum terlambat untuk melakukan perkara yang betul.

"Hari ini sumber hutan semakin berkurangan dan permintaan semakin meningkat, jadi saya rasa sudah tiba masanya perlu ada keseimbangan di antara pengeluaran dan penggunaan yang lebih bertanggungjawab. Kita semua perlu berusaha untuk memastikan kelestarian hutan untuk generasi akan datang," ujarnya.

Usaha meningkatkan standard

Selain memastikan pelaksanaan SFM melalui pensijilan pengurusan hutan, MTCS juga merangkumi pensijilan rantaian jagaan (CoC).

Pensijilan CoC bertindak mengesan produk berasaskan hutan dari sumber yang mampan sehinggalah ke produk akhir bagi memastikan setiap langkah rantaian bekalan dipantau rapi melalui audit bebas.

"Pensijilan juga memerlukan syarikat kayu untuk menerapkan amalan pembuatan yang baik serta memberi fokus kepada aspek sosial, kesihatan dan keselamatan pekerja-pekerja mereka," kata Yong.

MTCC telah menunjukkan kejayaan dalam mengubah pemikiran mengenai kayu bersijil dan SFM selepas dua dekad ia ditubuhkan.

Sehingga Disember 2020, sejumlah 5.27 juta hektar hutan merangkumi 22 FMU dan lapan unit pengurusan ladang hutan dan 382 syarikat telah memperoleh pensijilan pengurusan hutan dan rantaian jagaan di bawah MTCS - satu pencapaian yang membanggakan.

Sejak penghantaran pertama 75 meter padu kayu gergaji bersijil ke Belanda pada Julai 2002, eksport tahunan produk bersijil PEFC-MTCS telah meningkat dengan ketara dan kini merangkumi rangkaian produk kayu yang lebih menyeluruh.

Pada tahun 2020 (sehingga November), misalnya, jumlah eksport kayu dan produk kayu bersijil berjumlah 239,546 meter padu, dengan Belanda, Jepun dan England menjadi pengimport utama.

Sejak MTCS memulakan operasi, sejumlah 2.4 juta meter padu kayu dan produk kayu bersijil telah dieksport ke 72 destinasi di seluruh dunia.

Setelah tercapainya visi asal untuk diiktiraf sebagai organisasi pensijilan kayu terkemuka bagi hutan bersijil dan misinya untuk mewujud dan mengendalikan skim pensijilan kayu nasional yang berkredibiliti dan diiktiraf antarabangsa ke arah mempromosikan SFM, MTCC kini optimis mengorak langkah ke hadapan.

MTCC telah memperbaharui serta menyemak kembali pernyataan visi dan misi pada 2019 ketika sambutan memperingati ulang tahun ke-20 penubuhannya. Selain itu Strategi MTCC 2020-2025 juga telah digubal.

Strategi MTCC 2020-2025 merangkumi tujuh teras termasuk meningkatkan tahap pensijilan MTCS, meningkatkan kedudukan MTCS dalam dasar kebangsaan berkaitan kelestarian dan pengembangan skop pensijilan MTCS yang merangkumi produk bukan kayu.

Visi baharunya adalah untuk Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang menghargai dan mendalami nilai dan sumbangan penuh hutan ke arah kemampanan global.

Untuk itu, MTCC komited memperkukuhkan MTCS untuk merealisasikan visi baharu ini melalui pensijilan SFM dan CoC.

Mengenai rancangan terbaharu, Yong memberitahu bahawa fokus MTCC kini adalah untuk memastikan kejayaan penilaian semula pengiktirafan MTCS oleh PEFC selain melaksanakan strategi baharunya dengan berkesan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain