suria

Dinding lembap, berkulat dan berbau... Jangan bimbang ini penyelesaiannya!

Dinding yang kotor disebabkan bakteria dan kulat bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi berbau busuk.

BAGI yang menetap di rumah jenis apartment, satu masalah biasa yang sering berlaku adalah kebocoran antara tingkat yang menyebabkan air mengalir ke dalam dinding terutamanya dapur dan bilik air.

Kesan kebocoran itu akan menyebabkan dinding menjadi lembap dan mengeluarkan bau busuk akibat pembentukan kulat dan bakteria pada dinding yang boleh membahayakan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak susah cuci pengisar, hanya 30 saat je!

Jalan terbaik menyelesaikan masalah itu adalah dengan membaiki kebocoran yang berlaku pada lantai di antara tingkat namun kesan kekotoran pada dinding dan kulat yang melekat pada dinding perlu dibersihkan secara manual termasuk mengecat.

Bagi menyelesaikan masalah itu, terdapat beberapa cara untuk menghilangkan kesan tersebut termasuklah;

1. Minyak pokok teh

Minyak pokok teh sering digunakan untuk mengusir serangga tetapi ia juga merupakan salah satu pilihan untuk menghilangkan dan membersihkan kulat dan bakteria yang melekat pada dinding.

Ia boleh bertindak sebagai produk pembersih dan memiliki kekuatan untuk mencegah kulat daripada kembali melekat.

Campurkan satu sudu kecil minyak pokok teh dengan air yang dimasukkan ke dalam botol dan semburkan pada kawasan yang terkesan dan biarkan selama sejam sebelum dibersihkan dengan kain kering.

2. Ekstrak biji anggur

Ekstrak biji anggur sangat bagus untuk mematikan kulat dan bakteria kerana kandungan polifenol yang dikenali sebagai limonoid dan naringenin yang dapat membunun bakteria dengan berkesan.

Ketika ekstrak ini digunakan membunuh bakteria dan kulat, ia juga dapat mencegah ia daripada kembali menempel pada dinding anda.

3. Baking soda

Baking soda adalah antara bahan terbaik membersihkan dinding anda malah ia mampu menyerap bau busuk disebabkan kulat dan bakteria. Bagi mendapatkan kesan yang maksimum, campurkan baking soda dengan air dan semburkan campuran itu pada kotoran di dinding dan gunakan berus kecil untuk mengikis kotoran itu.

4. Cuka

Cuka antara cara terbaik untuk hilangkan kulat dan bakteria pada bahagian dinding dan hanya perlu disemburkan pada bahagian yang terkesan dan biarkan sehingga ia melarutkan kotoran itu agar mudah dikikis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain