suria

Ada kesan buruk ibu bapa suka puji anak pandai, hebat dan bijak! Pakar ajar cara betul beri pujian

Membimbing anak adalah tanggungjawab ibu bapa. -Gambar hiasan

SETIAP ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Zaman sekarng segala pencapaian anak dalam bidang akademik mahupun insaniah akan diberikan pujian melambung oleh orang sekeliling sebagai tanda penghargaan.

Namun melalui perkongsian di laman X, pakar psikologi, Kauthar Rozmal mendedahkan kebanyakan ibu bapa sering melakukan satu kesilapan ketika memuji anak.

Menurutnya, pujian ibu bapa secara 'identiti' menyebabkan anak cepat menjadi selesa sehingga akhirnya mereka enggan mencuba perkara baharu bagi mengembangkan kebolehan.

Ayuh kita lihat dengan lebih lanjut kupasannya.

Ibu bapa biasanya menjaga anak bagai menatang minyak yang penuh. -Gambar hiasan

1) Identity-based feedback (tindak balas berdasarkan identiti)

Perkara yang dimaksudkan di sini adalah seseorang ibu bapa itu meletakkan identiti terhadap anak seperti 'pandai', 'hebat', 'bijak'.

Berikut merupakan antara contohnya:

"Wah, pandainya anak mama ni. Hebat la anak ibu ni."

Walaupun kelihatan positif, tetapi melalui pujian ini anak akan cenderung untuk melakukan tugasan yang lebih mudah bagi terus mendapat pujian sama.

"Mereka berbuat sebegini kerana mahu mengekalkan identiti yang telah diberikan pada mereka iaitu pandai, hebat dan bijak.

"Cara memuji yang betul adalah kita menumpukan pada usaha anak, kaedah ini kita panggil sebagai effort-based feedback (tindak balas berdasarkan usaha)," jelas Kauthar.

Hubungan baik antara ibu bapa adalah penting. -Gambar hiasan

2) Effort-based feedback

Kategori pujian ini bermaksud ibu bapa menghargai usaha yang dicurahkan anak.

Berikut merupakan antara contohnya:

"Bagus anak mama tak menyerah kalah. Tahniah anak ibu sebab berjaya cuba sampai jadi."

Menerusi pujian ini, anak akan lebih terbuka untuk membuat kesilapan.

"Mereka berani untuk mencuba tugasan baharu yang lebih susah. Mereka tidak takut sekiranya melakukan kesilapan dan lebih bersemangat untuk bekerja keras.

"Kesimpulannya, pujilah usaha dan bukannya hasil," terang Kauthar,

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain