suria

Lama kaji, wanita dapat jawapan punca masakan pahit! Silap pilih bentuk daun limau purut, tak buang urat

Bentuk daun limau purut mempengaruhi rasa masakan.

PERNAH tak anda berdepan situasi makanan yang dimasak rasanya sedikit pahit?

Jika masakan itu menggunakan daun limau purut, puncanya mungkin datang daripada anda sendiri yang kurang arif dalam pemilihan daun

Perkara ini dikongsikan oleh Nasrah Zamzam menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, penting untuk memerhatikan bentuk daun sebelum digunakan untuk sebarang masakan seperti tomyam dan paprik.

Jelas Nasrah, untuk mengelakkan masakan daripada menjadi pahit, carilah daun limau purut yang bentuknya seperti nombor lapan (8).

Pilih daun limau purut bentuk nombor 8 (kanan) bagi mengelakkan masakan menjadi pahit.

Dalam hantaran dibuat, wanita ini turut berkongsi foto dua bentuk daun limau purut yang berbeza.

Menurut Nasrah, daun limau yang bentuknya bukan nombor 8 akan menjadikan masakan terasa pahit walaupun urat bahagian tengah dibuang.

Katanya, dia sudah lama 'mengkaji' kesan penggunaan kedua-dua bentuk daun limau purut ini ketika memasak dan akhirnya mendapat jawapan punca masakan rasa pahit.

Ternyata, ramai yang bersetuju dengan perkongsian wanita ini bahawa bentuk daun mempengaruhi rasa masakan.

Malah, ada juga yang menyatakan bahawa bentuk dan saiz daun yang lebih lebar menghasilkan aroma yang kurang berbanding daun bentuk 8.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain